'Romantik suami isteri itu sunnah Rasulullah'

Paparan Instagram Ustaz Ebit Lew yang menarik perhatian warganet.
Paparan Instagram Ustaz Ebit Lew yang menarik perhatian warganet.
A
A
A

SHAH ALAM - Sambutan Maulidur Rasul perlu dijadikan landasan meningkatkan rasa cinta, kasih kepada Rasulullah SAW selain menyuburkan rasa sayang kepada pasangan masing-masing.

Itu kata penceramah terkenal, Ustaz Ebit Lew apabila menyentuh keperibadian baginda yang disifatkan orang paling romantik.

Beliau turut berkongsi beberapa petua mengekalkan sifat romantis, kasih sayang antara suami isteri.

"Jom mulakan dengan pegang tangan pasangan kita. Indahnya pegang tangan pasangan kita yang halal. Sebelum pergi atau balik kerja kita pegang tangan pasangan kita.

"Rahmat ke atas mereka yang buat perkara yang halal. Tengah duduk-duduk pegang tangan mereka," tulis Ustaz Ebit di laman Instagram miliknya.

Menurutnya, setiap pasangan perlu menzahirkan rasa syukur kerana dikurniakan pasangan yang saling melengkapi.

"Lihat mata mereka dengan perasaan kasih sayang, melihat mereka dengan perasaan bersyukur kepada ALLAH SWT. Beri perhatian kepada mereka dengan perasaan syukur pada ALLAH.

"Lihat dan cari kecantikannya dan kebaikannya... Bila syukur ALLAH akan tambahkan nikmat," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, katanya, di tengah kesibukan mengurus umat, Rasulullah SAW tanpa jemu sentiasa mengingatkan umat Islam menghargai dan memuliakan pasangan.

Dengan sifat sangat lembut, Nabi Muhammad SAW menunjukkan cinta dengan sederhana dan bersahaja seperti memanggil isterinya dengan panggilan manja dan indah hingga mereka akan berasa disayangi dan dihargai.

"Lidah kita sentiasa memanggil mereka dengan panggilan yang mereka paling suka... Sayang abang yang cantik, menawan, manis, baik hati, solehah, lemah lembut, terima kasih kerana sudi jadi isteri saya... Saya sangat sayang awak kerana ALLAH.

"Dukung sekali sekala seperti Nabi SAW dukung isterinya, Aisyah kenakan pipi dengan penuh sayang dan manja," katanya.

Selain itu, beliau mengingatkan kepada setiap pasangan perlu jauhi sikap ego sebaliknya tanamkan sifat sentiasa maaf, bersangka baik selain menuntut ilmu bersama ke arah rumah tangga bahagia.

Perkongisan Ebit Lew itu nyata menarik perhatian warganet termasuk rakan artis.

"Semua orang sayang @ebitlew, orang yang penyayang, sentiasa sebar kasih-sayang. Syukur ada contoh baik macam @ebitlew," tulis @missfazura.

@lily pula mengucapkan "terima kasih atas tunjuk ajar".

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!