Perdana optimis MoU Lynas, Mara Corp situasi menang-menang

Erwan
Erwan
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Pedagang dan Peniaga Kebangsaan Malaysia (Perdana) optimis perjanjian persefahaman (MoU) dimeterai Lynas Malaysia Sdn Bhd dan Mara Corporation Sdn Bhd (Mara Corp) mengambil kira keuntungan yang bakal dinikmati dalam situasi menang-menang antara kedua pihak selain kepentingan negara.

Presidennya, Datuk Seri Dr Erwan Tahir berkata, apa juga inisiatif yang membantu mencapai indeks pertumbuhan hendaklah diberi perhatian tanpa ada anasir lain.

"Perdana optimis dengan elemen yang dirangka dalam MoU ini dan Lembaga Pengarah Mara Corp turut berjaya memastikan inisiatif pendidikan serta latihan seperti yang diterapkan.

"Memetik kata Pengerusi Mara Corp, Akrsyah Muamar Ubaidah Sanusi bahawa ganjaran besar akan dinikmati siswazah berkemahiran tinggi, penyelidikan dan pembangunan serta banyak lagi industri hiliran.

"Sektor hiliran melalui MoU ini akan membawa masuk pelaburan berbilion ringgit yang pasti mewujudkan ribuan pekerjaan baharu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, keperluan rakyat terhadap teknologi dapat dimanfaatkan dengan jangkaan sehingga 67 peratus penyertaan melalui siswazah teknikal sedia ada.

Menurutnya, ia memberi impak kepada penurunan peratusan pengangguran di negara ini.

"Keupayaan Lynas (M) Sdn Bhd bekerjasama dengan Mara Corp melalui Lembaga Pengarahnya perlu dilihat sebagai paradigma baharu dalam konteks berjiwa besar oleh pihak berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Perdana sekali lagi optimis dengan langkah kehadapan Mara Corp dalam merebut peluang perkembangan industri hijau dan berteknologi tinggi.

"MoU ini mampu mencapai ketetapan objektif dan polisi Mara," katanya.

Selasa lalu, Mara Corporation dan Lynas memeterai perjanjian strategik untuk melaksanakan beberapa projek bernilai tinggi bagi menarik FDI ke Malaysia.

Bagaimanapun, Mara melalui satu kenyataan kemudian menegaskan MoU berkenaan dibuat tanpa kelulusan Majlis Mara dan tindakan Mara Corporation itu tidak selaras dengan ketetapan Mara iaitu sebarang inisiatif baharu perlu mendapat pertimbangan Majlis terbabit.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!