Sambutan Maulidur Rasul lambang penyatuan ummah

Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah (depan, tujuh dari kanan) berkenan menunaikan solat Isyak berjemaah sebelum bermulanya Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang 2019 malam ini. - Foto Bernama
Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah (depan, tujuh dari kanan) berkenan menunaikan solat Isyak berjemaah sebelum bermulanya Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang 2019 malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Kehadiran ribuan hadirin di Dewan Tertutup Kompleks Sukan Pahang (Sukpa) Bandar Indera Mahkota di sini bagi meraikan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pahang 2019 melambangkan penyatuan ummah dalam meraikan junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Wakil rasmi Pengerusi Jumaah Pemangku Raja Pahang, Tengku Panglima Raja Mejar Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkata, ini kerana mereka yang menyambut Maulidur Rasul mempamerkan sikap sentiasa memberi tumpuan untuk bersatu padu dan memandang kebaikan berbanding keburukan.

"Kejayaan perhimpunan pada malam ini membawa maksud penyatuan sesama insan dan mukmin khasnya. Hakikat manusia itu ialah fikir, rasa dan buat. Apa yang manusia pilih untuk fikir, yang manusia pilih untuk rasa dan buat itulah yang mencorak hala tuju seseorang.

"Kedatangan Nabi Muhammad SAW adalah memberi petunjuk supaya apa yang kita fikir, apa yang kita rasa dan buat, selaras dengan reda ALLAH SWT.

"Marilah kita mengambil iktibar menghayati Maulidur Rasul ini dengan segala peristiwa yang dilalui Rasulullah SAW. Risalahnya masih segar biarpun baginda sudah lama meninggalkan kita. Semoga penghayatan itu akan membawa kita untuk lebih bersedia mendepani cabaran di masa depan," katanya ketika berucap di Sukpa Bandar Indera Mahkota tadi.

Hadir sama, Mufti Pahang, Datuk Seri Abd Rahman Othman; Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahum Syed Ahmad, kerabat-kerabat bergelar dan Puteri Suraiya Afzan Mohamed Moiz.

Pada sambutan Maulidur Rasul bertemakan Negara Rahmah Ummah Sejahtera itu, tiga individu dipilih menerima anugerah iaitu bekas Rektor Kolej Universiti Pendidikan Sultan Ahmad Shah (Kuipsas), Datuk Yahya Zainal Abidin (Anugerah Pendidikan); bekas Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, Datuk Mohd Ghazali Abdul Aziz (Anugerah Daie) dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semantan, Idris Omar (Anugerah Ummah).

Dalam pertandingan perarakan sepanduk, Jabatan Kerja Raya Negeri Pahang dipilih menjuarai Kategori Jabatan Kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Bagi Kategori Swasta, Badan Berkanun dan NGO pula dimenangi Pusat Kutipan Zakat (PKZ) dengan Tenaga Nasional Berhad dan Majlis Ugama Islam & Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) masing masing di tempat kedua dan ketiga.

Sementara itu bagi kategori IPTA, IPTS dan Sekolah pula, Universiti Tenaga Nasional (Uniten) dinobatkan sebagai juara perarakan diikuti Maahad Tahfiz Negeri Pahang sebagai Naib Johan dan Pergerakan Puteri Islam Sekolah Menegah Agama Al Ihsan mendapat tempat ketiga.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!