Santuni masyarakat bukan Islam imarah masjid
SEREMBAN - Bersempena dengan sambutan Maulidur Rasul semalam, Masjid Kariah Ibnu Khaldun, Lavender Heights di sini mengadakan Hari Terbuka Masjid bagi menarik masyarakat dari semua peringkat umur mengimarahkan masjid.
Pengerusi Kariah Masjid Ibnu Khaldun, Mohd Asna Amin berkata, pihaknya turut menjemput masyarakat bukan Islam menyertai pelbagai aktiviti yang dijalankan di sini.
"Masjid bukan hanya tempat mengerjakan solat lima waktu semata-mata sebaliknya pelbagai aktiviti kerohanian juga dijalankan dan ianya merupakan kekuatan orang Islam serta melambangkan perpaduan.
"Kita bukan sahaja mengajak masyarakat Islam mengimarahkan masjid tetapi menyantuni masyarakat bukan Islam selain dapat mengeratkan hubungan silaturahim tanpa mengira latar belakang politik, agama, dan bangsa," katanya ketika ditemui Sinar Harian di masjid itu semalam.
Beliau berkata, pihaknya juga bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO), Hidayah Centre memberi peluang kepada masyarakat bukan Islam mengetahui lebih lanjut mengenai Islam supaya mereka memahami bahawa Islam adalah agama kedamaian.
Dalam pada itu, Mohd Asna berkata, pelbagai pengisian diadakan pada program julung kali diadakan itu antaranya pertandingan permainan beyblade, treasure hunt, hafazan, azan dan memanah serta perarakan selepas solat Asar.
"Sempena dengan sambutan Maulidur Rasul ini juga, kami mahu masjid menjadi tempat yang mesra masyarakat dan dalam masa sama mengingati sunnah dan perjuangan Nabi Muhammad SAW.
"Turut diadakan adalah gerai jualan dan 'free market' yang mana penduduk akan mengumpulkan baju terpakai yang masih dalam keadaan baik dan masyarakat yang memerlukan akan memilih baju berkenaan tanpa dikenakan sebarang bayaran," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!