Sultan Nazrin zahir kebimbangan hubungan kaum

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan di Balairong Seri Istana Iskandariah hari ini. Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim. - Foto Bernama
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan menyampaikan Titah Diraja pada Istiadat Ulang Tahun Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan di Balairong Seri Istana Iskandariah hari ini. Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA KANGSAR - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan kebimbangan terhadap perselisihan kaum dan agama yang menjadi ancaman sangat kritikal kepada negara ketika ini.

Baginda bertitah, negara yang dibina dengan falsafah kenegaraan sedang menghadapi perkembangan yang boleh mengancam perpaduan rakyat.

Menurut baginda, slogan-slogan atas nama kaum bersifat provokatif dan retorik-retorik atas nama agama yang bernada ekstrem kini kelihatan semakin digemakan.

"Slogan dan retorik sedemikian, laksana bara yang mula menyalakan puntung, menyalakan unggun jika tidak segera dibendung akan menyemarakkan api permusuhan yang boleh memusnahkan negara.

"Cabaran dan ancaman paling dekat, yang sangat kritikal, yang boleh meruntuhkan negara dengan pantas adalah ledakan lava kemarahan sesama rakyat berpunca daripada perselisihan kaum dan agama," titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian sempena Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, di sini hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Turut berangkat pada istiadat berkenaan, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah; Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah; Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Mu'adzam Shah dan raja-raja bergelar yang lain.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, baginda turut bimbang dengan keadaan rakyat yang semakin direnggangkan.

Titah baginda, rakyat kelihatan semakin hilang kompas pedoman untuk menemui titik penyatuan.

"Negara ketika ini tidak memerlukan panglima untuk berperang tetapi negara teramat memerlukan diplomat untuk menjalinkan persaudaraan; seorang yang luas lagi jauh pandangannya, matang, sabar, tenang dan rasional pendekatannya agar melalui kebijaksanaan dan hikmahnya, suhu panas dapat diturunkan dan negara dapat dihindarkan daripada dilanda bencana disebabkan perselisihan kaum dan agama.

"Proses membina warga merdeka yang teguh bersatu, kukuh berpadu dan warga yang memiliki satu identiti nasional tidak boleh ditangguhkan, tidak boleh dikemudiankan kerana kelangsungan kedaulatan negara merdeka ini amat bergantung pada warganya yang bersatu dan berpadu," titah baginda.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin menyarankan pemimpin di semua peringkat sama ada Islam atau bukan Islam supaya menyelami dan menghayati seterusnya mengamalkan sirah yang telah ditinggalkan oleh Rasulullah SAW.

Menurut baginda, keadilan yang diamalkan baginda perlu dijadikan panduan untuk membawa suara kesederhanaan, suara perdamaian dan suara penyatuan.

"Keadilan yang amalkan oleh Rasulullah SAW dinikmati oleh umat Islam dan bukan Islam. Bukan Islam turut dijamin perlindungan keselamatan, dijamin kebebasan beragama, dijamin untuk mengamalkan budaya masing-masing, dijamin hak untuk melakukan pelbagai kegiatan ekonomi dan pembangunan sosial.

"Islam yang Baginda anjurkan, berjaya meletakkan Islam sebagai agama yang dihormati dan agama yang mahu didampingi, bukan agama yang ditakuti dan agama yang mahu dijauhi," titah baginda.

Terdahulu, Terdahulu, Sultan Nazrin memeriksa kawalan kehormatan daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen di pekarangan Istana Iskandariah.

Acara di Balairung Seri dimulai dengan Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia oleh Raja Jaafar bagi pihak Raja-raja dan Orang Besar Perak Darul Ridzuan manakala Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mewakili kerajaan dan rakyat.

Sementara itu, pada istiadat berkenaan seramai 19 penerima dianugerahkan Darjah Kebesaran Negeri Perak iaitu Darjah Seri Paduka Mahkota Perak (D.P.M.P), Darjah Seri Panglima Taming Sari (S.P.T.S), Darjah Dato' Paduka Cura Si Manja Kini (D.P.C.M), Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (D.P.M.P) dan Darjah Dato' Pahlawan Taming Sari (D.P.T.S).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!