Agong berangkat ke Karnival Usahawan Koperasi MED
PUTRAJAYA - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mencemar duli berangkat ke Karnival Usahawan Koperasi Kementerian Pembangunan Usahawan (MED).
Keberangkatan baginda pada jam 9.30 pagi disambut Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr Aminuddin Hassim.
Al-Sultan Abdullah diiringi Mohd Redzuan turut berkenan meluangkan masa menyantuni golongan asnaf dan gerai-gerai koperasi yang menyertai pameran di karnival itu.
Sejurus itu, Al-Sultan Abdullah mengurniakan hadiah kepada peserta acara 9to5 Run Half Marathon. Seramai 10,000 peserta menyertai larian marathon dan mula membanjiri pekarangan Istana Kehakiman di sini seawal jam 6 pagi.
Karnival Usahawan Koperasi MED yang diadakan selama tiga hari bermula Jumaat lepas telah merekodkan jualan lebih RM150,000 selain menarik lebih 20,000 pengunjung dari sekitar Putrajaya dan Lembah Klang.
Karnival tersebut telah menghimpunkan pelbagai produk dan perkhidmatan awam yang ditawarkan oleh koperasi-koperasi daripada kluster mikro, kecil, sederhana dan besar.
Selain itu, sesi BizOpp yang diadakan semasa berlangsungnya karnival ini telah memberi manfaat kepada lebih 200 peserta untuk mempelajari sistem perniagaan daripada pengasas-pengasas jenama besar seperti The Manhattan Fish Market, Chatime dan Al-Ikhsan Sports. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!