Zii Jia tarik diri Terbuka Hong Kong

Zii Jia
Zii Jia
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perseorangan lelaki kebangsaan, Lee Zii Jia terpaksa menarik diri daripada saingan Terbuka Hong Kong yang akan bermula Selasa ini akibat keracunan makanan yang teruk.

Kesakitan yang dialami oleh Zii Jia yang berusia 21 tahun itu menyebabkan tubuhnya menjadi lemah dan tidak dapat berlatih.

Jurulatih perseorangan lelaki kebangsaan, Hendrawan berkata, Zii Jia menjalani pemeriksaan kesihatan lanjut dan meneruskan pemulihannya di Malaysia.

"Zii Jia berasa letih dan mengalami kesukaran untuk berlatih kerana keracunan makanan.

"Kami telah memutuskan untuk menariknya keluar daripada Terbuka Hong Kong dan dia akan mendapat pemeriksaan kesihatan di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini.

Khamis lalu, Zii Jia gagal menamatkan permainan ketika berdepan pemain nombor satu dunia dari Jepun, Kento Momota pada pusingan kedua Terbuka China di Fuzhou.

Zii Jia hanya sempat menghabiskan perlawanan set pertama yang menyaksikan dia tewas 9-21 sebelum menarik diri di set kedua ketika ketinggalan 3-11. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!