Gudang mesin judi diserbu polis

Ismadi (kiri) menunjukkan mesin simulator perjudian yang disembunyikan di premis kilang ini.
Ismadi (kiri) menunjukkan mesin simulator perjudian yang disembunyikan di premis kilang ini.
A
A
A

SERDANG - Polis berjaya melumpuhkan sindiket membekalkan mesin simulator perjudian dalam talian terbesar di negeri ini awal pagi hari ini.

Dalam serbuan itu, polis merampas 1,127 mesin simulator perjudian dalam talian yang dianggarkan bernilai RM2.7 juta dalam serbuan yang dijalankan ke atas sebuah premis bangunan kilang di Sri Kembangan.

Ketua Polis Daerah IPD Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, premis kilang ini dijadikan gudang menyimpan mesin yang mana ia diimport dari luar negara.

Menurutnya, mesin itu kemudian akan diedarkan ke pusat perjudian online haram di seluruh negara.

"Serbuan dilakukan berdasarkan maklumat awam dan polis melakukan risikan selama dua hari di kawasan ini.

"Walau bagaimanapun ketika serbuan dilakukan, premis yang dikawal dengan CCTV (kamera litar tertutup) tidak berpenghuni.

"Polis akan menyiasat bagi mengenalpasti individu disebalik sindiket ini," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Ismadi berkata, polis percaya sindiket ini baru beroperasi di premis kilang berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Polis memang sedang giat membenteras sebarang kegiatan judi online, dan sindiket ini didapati tidak dapat bertahan lama di satu lokasi dikhuatiri kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa," katanya.

Ismadi menambah, mesin simulator judi yang dirampas ini disenaraikan sebarang barang larangan import di bawah Perintah Kastam.

"Dan perbuatan menginport barangan ini merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 135 (1)(a) Akta Kastam 1967.

"Dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak kurang 10 kali ganda dan tidak lebih 20 kali ganda daripada nilai barang atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kerua-duanya sekali.

"Kesemua rampasan ini akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk siasatan lanjut," katanya lagi.

Tinjauan Sinar Harian mendapati ruang premis kilang itu telah diubah suai menjadi dua tingkat dan turut dilengkapi dengan lif.

Kebanyakan mesin simulator perjudian masih dalam bungkusan kotak dan memenuhi segenap ruang kilang berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!