Klip video: Ahmad Faizal beri penjelasan esok

Laporan Sinar Harian Kelmarin. Marzuki Yahya
Laporan Sinar Harian Kelmarin. Marzuki Yahya
A
A
A

GEORGETOWN - Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan memberi penjelasan berhubung klip video yang tular ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) esok.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya berkata, Ahmad Faizal perlu menjelaskan apa sebenar maksud yang cuba disampaikan oleh beliau semasa kempen tersebut.

Bagaimanapun, Marzuki berkata, beliau percaya apa yang berlaku dapat diselesaikan dengan cara baik kerana ia bukannya masalah besar dalam Pakatan Harapan (PH).

"Bagi saya isu sebegini bukanlah perkara yang besar untuk kita di dalam PH kerana sebelum ini pun ada juga kenyataan yang agak sensitif dilontarkan bukan sahaja dari Bersatu tetapi juga datang daripada rakan-rakan yang lain seperti kenyataan Ronnie Liu (Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP sebelum ini.

"Semua ini kita akan cuba bendung dan kawal terutamanya pemimpin di peringkat negeri dan bahagian. Saya pun merasakan apa yang cuba disampaikan oleh Ahmad Faizal adalah pengalaman beliau, jadi ini bukan bererti kalau kita ceritakan pengalaman kita nak cari masalah," katanya ketika ditemui media di sini pagi tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: Klip video MB Perak cetus tanda tanya

Terdahulu, Marzuki merasmikan Konvensyen Kepimpinan Berhikmah Peringkat Negeri Pulau Pinang yang diadakan di Universiti Sains Malaysia.

Mengulas lebih lanjut, Marzuki berkata, perkara itu bukan masalah besar sebaliknya fokus utama PH pada ketika ini adalah memastikan kemenangan PH pada PRK Tanjung Piai.

ARTIKEL BERKAITAN: DAP tuntut MB Perak beri penjelasan

Artikel Berkaitan:

Semalam, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mahu Ahmad Faizal membuat penjelasan sekiranya klip video memaparkan beliau mengeluh perlu bergelut seorang diri untuk melindungi kepentingan Melayu adalah benar.

Guan Eng berkata, sekiranya apa yang dinyatakan itu adalah benar, Ahmad Faizal perlu membuat penjelasan dan usaha untuk menebus semula apa yang diungkapkannya itu.

Menurutnya, kenyataan yang dibuat Ahmad Faizal itu adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!