Pengundi belum terima kad mengundi perlu buat semakan awal: SPR

No Image Caption
A
A
A

PONTIAN - Pengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang tidak menerima kad pengundi diingatkan supaya membuat semakan maklumat pengundian mereka lebih awal sebelum hari pengundian.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun berkata, semakan boleh dibuat melalui portal semakan pemilih iaitu https://pengundi.spr.gov.my; Hotline SPR di talian 03-88927018, aplikasi MySPR Semak atau SMS ke 15888 (taip SPRSEMAKNO.KAD PENGENALAN)

"Pengundi yang telah menerima kad pengundi atau telah mengetahui maklumat pengundian, mereka tidak lagi perlu membuat semakan di barung semakan SPR sebaliknya boleh terus ke saluran mengundi (hari pengundian).

"Bagi pengundi yang baru membuat semakan, mereka disaran untuk mencatat dan menyimpan maklumat-maklumat berkenaan pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut mengingatkan semua pengundi bagi PRK Tanjung Piai supaya membawa kad pengenalan dan kad pengundi atau catatan maklumat pengundian pada hari mengundi Sabtu ini.

“Pengundi perlu menunjukkan kesemua dokumen itu kepada KP1 (Kerani Pengundian Pertama) yang bertugas di saluran mengundi untuk membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi,” katanya.

PRK itu menyaksikan pertandingan enam penjuru melibatkan calon Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz daripada Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Wendy Subramaniam mewakili Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) serta dua calon Bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!