'Dalam rezeki kita ada rezeki orang lain juga'
SENAWANG - "Jom ambil gambar, 'uncle' belanja."
Demikian kata-kata seorang lelaki bagi memenuhi keinginan kanak-kanak untuk mengambil gambar selepas majlis konvokesyen setelah bapanya tidak dapat memenuhi hajatnya.
Pelayar Twitter dikenali Irwan terpanggil untuk membantu apabila si bapa tidak mampu membayar RM20 yang dianggap mahal untuk mereka sekeluarga.
Menerusi perkongsian tersebut, Irwan sedang berada di tirai khas khusus buat ibu bapa untuk mengabadikan gambar konvokesyen anak mereka.
Pada ketika itu, dia ternampak seorang bapa bersama anaknya yang sedang bertanyakan harga pakej gambar tersebut.
"Saya terdengar 'brader' (lelaki) tu tanya, pakej paling murah berapa. Peniaga jawab RM20. Brader tu diam. Saya perhati dia 'usha' anaknya kat sebelah dan tarik budak perlahan-lahan meninggalkan kawasan ambil gambar tu.
"Kat luar dewan, anaknya tanya nak pergi mana, lelaki tu jawab nak balik. Anaknya muka sayu. Budak tu nak ambil gambar macam Ali (anak Irwan) dan mereka berkawan," ciapnya.
Menurut Irwan, bapa berkenaan dikatakan tidak membawa wang menyebabkan dia tidak mampu untuk memenuhi keinginan anaknya itu.
"Dia tak bawa duit dan menuju ke arah motor mereka dan saya capai, pegang lengan anaknya dan mahu belanja mereka," ciapnya.
Menurutnya, selesai sesi bergambar, si bapa tersebut berkali-kali meluahkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Irwan kerana bermurah hati untuk memenuhi keinginan anaknya itu.
Irwan juga memberitahu, rezeki yang diterima itu juga adalah pemberian daripada orang ramai yang turut menyumbang ketika dia membuat persembahan sebagai pemuzik jalanan.
Rata-rata netizen tersentuh hati di atas kemuliaannya yang sudi membantu insan tidak dikenali.
"Dalam rezeki kita ada rezeki orang lain juga," @FizieFirdaws47.
Kata @AzamLambert, "Terima kasih 'bro'. Moga dipermudahkan rezeki. Aku terkesan juga 'tang' kesusahan itu satu fasa hidup."
Padan hantaran yang sama, @fizeFirdaws47 juga bersetuju berkongsi rezeki kepada mereka memerlukan kerana sumber yang baik dikongsi untuk benda baik.
link Twitter - https://twitter.com/akuskizo/status/1193013922623705088
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!