'Kerja rumah' belum selesai
JENTERA serangan Harimau Malaya harus melakukan lebih banyak ‘kerja rumah’ agar tampil lebih efektif bagi menyempurnakan setiap peluang yang terhidang.
Itu antara rumusan Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe selepas menyaksikan skuad kendaliannya meraih kemenangan tipis 1-0 ke atas Tajikistan pada aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam semalam.
Selain ketumpulan barisan serangan, Cheng Hoe turut mengenal pasti beberapa kelemahan di posisi pertahanan yang dikemudi kapten berpengalaman, Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak sehingga hampir dirobek pasukan ranking ke-119 dunia itu.
“Setakat ini apa yang saya lihat banyak juga melibatkan intensiti yang tinggi dan ia bukan mudah. Pada separuh masa pertama, dua atau tiga kali jugalah kita nyaris-nyaris dibolosi gol, kita kena perbaiki lagi dari segi pertahanan.
“Pada masa sama, bahagian serangan kita perlu melakukan homework dengan lebih banyak,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam semalam.
Dalam pertemuan itu, Cheng Hoe melakukan beberapa eksperimen dengan meletakkan pemain pertahanan Selangor, Syahmi Safari di posisi sayap kanan dalam kesebelasan utama Harimau Malaya.
Cheng Hoe turut menguji penjaga gol Selangor, Mohd Khairulazhan Khalid, kepten Kedah yang juga pemain tengah, Baddrol Bakhtiar dan pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Muhammad Akhyar Rashid dengan meletakkan mereka dalam kesebelasan utama.
Sebaliknya, beberapa tonggak yang sebelum ini berada dalam kesebelasan utama hanya dimasukkan sebagai pemain gantian, antaranya Safawi Rasid, Brendan Gan serta Norshahrul Idlan Talaha.
Percaturan Cheng Hoe itu tampak berhasil apabila Safawi meledak gol kemenangan Harimau Malaya selepas menyudahkan hantaran Brendan pada minit ke-71.
“Syahmi bermain dengan baik di bahagian sayap biarpun itu bukan posisi sebenarnya. Saya mahukan pemain seperti Syahmi mampu bermain dalam beberapa posisi bagi meningkatkan kualiti yang ada padanya.
“Baddrol pula menggalas tugas pemain tengah pertahanan dengan baik. Dia dapat memberi panduan kepada pemain muda,” jelasnya.
Ditanya status Afiq Fazail, Cheng Hoe berkata, pemain tengah JDT itu diberi cuti pelepasan kerana melangsungkan perkahwinan.
“Afiq masih dalam berada perancangan dan kita memerlukan khidmatnya bersama pasukan nanti,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!