'Pajak gadai berlesen dapat kawal ceti haram'
SHAH ALAM - Kewujudan syarikat pajak gadai berlesen dilihat bukan sahaja bokeh mengawal kegiatan ceti haram atau ah long, malah orang ramai dapat menggunakan saluran selamat serta terjamin ketika membuat gadaian.
Setiausaha Politik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nor Hizwan Ahmad berkata, sokongan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin terhadap syarikat pajak gadai berkonsepkan pandu lalu wajar dipuji.
"Usaha beliau (Zuraida) wajar dipuji kerana melalui syarikat pajak gadai berlesen rakyat mempunyai kesedaran menggunakan saluran betul, selamat dan terjamin berbanding menggunakan ceti haram atau ah long.
"Saya sendiri tertanya-tanya, apakah dengan tindakan mengkritik usaha Zuraida memberi signifikasi bahawa Pemuda MIC menyokong rakyat mendapatkan khidmat gadaian dari ceti haram atau meminjam wang daripada ah long," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kritikan Pemuda MIC yang hairan terhadap sokongan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin kepada sebuah syarikat pajak gadai berkonsepkan pandu lalu.
Semalam, Exco Pemuda MIC, Arvind Krishnan menyifatkan adalah sangat tidak wajar bagi menteri untuk memberi sokongan secara terbuka terhadap sebuah industri yang meraih keuntungan daripada kesusahan rakyat biasa.
Respon Arvind itu selepas tular di media sosial gambar sekitar majlis pembukaan kedai berkenaan yang dirasmikan Zuraida.
Nor Hizwan hari ini berkata, kenyataan Arvind itu adalah kenyataan kuno dan sudah ketinggalan zaman serta tidak wujud isu menyokong industri yang menindas rakyat.
"Lucunya, selaku pimpinan beliau seolah-oleh tidak peka bahawa pengurusan pajak gadai termasuklah hal ehwal lesen adalah salah satu tanggungjawab di bawah pengurusan KPKT sendiri.
"Kementerian ini mengawal selia peraturan dan syarat-syarat agar industri ini berkembang dengan sihat serta terkawal dan menjamin hak-hak pengguna," katanya.
Nor Hizwan berkata, Pemuda MIC seharusnya sedar kini terdapat hampir empat juta pemajak direkodkan menggunakan khidmat di 593 premis pajak gadai berdaftar di seluruh negara pada tahun lepas dengan nilai gadaian kira-kira RM8 juta.
"Untuk pengetahuan Pemuda MIC, khususnya Arvind Krishnan, Bahagian Kawalan Kredit Komuniti (BKKK), KPKT ada membangunkan aplikasi i-Gadaian dengan tujuan bagi memudahkan orang ramai membuat carian premis pemegang pajak gadai berlesen di bawah kementerian, selain sebagai platform membuat aduan secara dalam talian," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Empat juta pemajak guna premis pajak gadai berdaftar tahun lalu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!