TUDM terbangkan pesakit kronik ke Sabah
BUTTERWORTH -Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini melakukan penerbangan ihsan membawa seorang pesakit wanita yang lumpuh akibat masalah kronik pada otak dan saraf tunjang.
Bahagian Perhubungan Awam TUDM, dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan penerbangan ihsan membawa Salmiah Mohd Rais, 24, yang sebelum ini menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu bagi memudahkan urusan pemantauan dan penjagaannya.
Salmiah diterbangkan dari Pangkalan Udara Butterworth di sini ke Lapangan Terbang Kota Kinabalu dengan menggunakan pesawat A400M milik TUDM daripada No 22 Skuadron pada jam 12 tengah hari tadi.
"Pesawat berlepas jam 2.15 petang dan tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu jam 5.30 petang itu dipandu Mejar Lo Che Seng dan dibantu Kapten Mohd Amir Shahrin serta empat kru pesawat.
"Turut mengiringi pesakit, kedua ibu bapanya dan masing-masing seorang jururawat dan pakar perubatan dari Hospital Seberang Jaya," kata kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!