Kedah negeri kedua jayakan Eco-Schools

Mukhriz (tengah, depan) bergambar bersama wakil 36 sekolah yang menjayakan program Eco-Schools di Kedah.
Mukhriz (tengah, depan) bergambar bersama wakil 36 sekolah yang menjayakan program Eco-Schools di Kedah.
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah muncul negeri kedua menjayakan program Eco-Schools, inisiatif antarabangsa bawah payung UNESCO’s Global Action on Education for Sustainable Development (ESD) berasaskan pendidikan untuk kelestarian pembangunan.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, inisiatif Eco-Schools bertujuan mendidik pelajar dan warga sekolah menjaga, memelihara dan menjadi ejen dalam memastikan kelestarian alam di negeri ini.

"Inisiatif Green Growth Asia Foundation (GGAF) dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Kedah ini melibatkan 36 sekolah menengah dan rendah sebagai perintis di negeri ini.

“Mereka akan menjadi duta Kedah dalam usaha mencari penyelesaian kepada isu alam sekitar di kawasan setempat, seterusnya menyumbang kepada penyelesaian isu di peringkat global. Ini termasuk perubahan iklim serta pencemaran yang berlaku di negeri ini,” katanya ketika melancarkan program Eco-Schools di Pusat Sains Negara Wilayah Utara hari ini.

Menurutnya, isu alam sekitar dapat ditangani sekiranya rakyat memahami punca dan cara menanganinya serta tidak berserah kepada pihak berwajib semata-mata.

“Antara cara menangani isu alam sekitar adalah melalui gaya hidup yang baik. Program ini akan mendidik pelajar mengubah sikap dan 'mindset' mereka untuk mempraktikkan amalan hidup yang lebih baik.

"Jika dipraktikkan, sudah tentu akan sebati dan kekal sebagai amalan sehingga dewasa,” katanya.

Mukhriz berkata, program Eco-Schools akan dilaksanakan selama tiga tahun bermula tahun hadapan dan berakhir pada 2022.

Artikel Berkaitan:

“Selama tiga tahun ini, GGAF akan membimbing guru dan warga sekolah mengenali dan menyelesaikan isu alam sekitar. Dengan pengalaman program ini di Melaka, saya harap sekolah dapat memanfaatkan perkongsian ilmu ini,” katanya.

Mukhriz berkata, program anjuran Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI Kedah) ini adalah sebahagian daripada komuniti besar Eco-Schools peringkat antarabangsa melibatkan 68 buah negara di seluruh dunia.

“Kerajaan negeri komited menjaga kelestarian alam sekitar dengan melancarkan agenda hijau serta Pelan Induk Tenaga Hijau dan Tenaga Boleh Diperbaharui, selain pengurangan pelepasan karbon, pengurangan penggunaan beg plastik, pengurangan pembakaran terbuka serta aktiviti kitar semula, yang boleh dilakukan bersama rakyat,” katanya.

Mukhriz yang juga pengerusi MBI Kedah berharap program itu menjadi landasan kepada sekolah untuk menyumbang ke arah peningkatan kualiti alam sekitar, mengurangkan pengeluaran karbon dan mencipta kesan positif kepada alam sekitar untuk tempoh jangka panjang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!