Larangan merokok: MB puas hati respons orang ramai

Menteri Besar  Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berpuas hati terhadap respons orang ramai berhubung larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di negara ini yang berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Aminuddin (dua, kanan) ketika meninjau sekitar kawasan Taman Eko Rimba Gunung Datuk pada program Plogging@Gunung Datuk
Aminuddin (dua, kanan) ketika meninjau sekitar kawasan Taman Eko Rimba Gunung Datuk pada program Plogging@Gunung Datuk
A
A
A

REMBAU - Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun berpuas hati terhadap respons orang ramai berhubung larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di negara ini yang berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Menurutnya, larangan dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ternyata memberi impak positif melalui pemerhatiannya sendiri.

"Saya berkesempatan berada di sebuah restoran di Seremban 2. Saya duduk hujung bersama keluarga , orang ramai dilihat mematuhi larangan tersebut.

"Sekumpulan anak muda yang mahu merokok dilihat keluar dan berada dalam jarak lebih kurang 50 meter dari restoran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas arahan larangan merokok selepas Program Plogging@Gunung Datuk di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Salim Aman dan Ketua Pegawai Eksekutif Kibing Group Malaysia Sdn Bhd, Lim Swee Ee.

Aminuddin yang juga Adun Sikamat berkata, beliau berpendapat larangan berkenaan adalah satu langkah baik dan harus diteruskan.

"Arahan ini perlu diteruskan untuk menghormati rakan-rakan lain yang tidak merokok, menghormati keluarga yang membawa anak-anak kecil makan diluar.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai rakyat berdisplin, bertamadun, larangan ini perlu diteruskan dan diberi perhatian semua pihak," katanya.

Sementara itu, program anjuran Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan bersama Kibing Group Malaysia Sdn Bhd berkenaan disertai 200 peserta.

Peserta beriadah sambil mengutip sampah di sepanjang trek mendaki Gunung Datuk dan di sekitar Taman Eko Rimba Gunung Datuk.

Program itu turut mendapat kerjasama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Sembilan, SWM Environment Sdn Bhd dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sembilan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!