Wanita mengandung 'diserang' lelaki tunjuk isyarat lucah
JOHOR BAHRU - Satu rakaman video tular di laman sosial memaparkan lelaki bertegang urat dengan seorang wanita yang dikatakan menjadi mangsa buli jalanan dipercayai berlaku di Jalan Plentong, di sini.
Video durasi 4 minit 21 saat itu dirakam menerusi pemasangan kamera 'dashboard' atau dashcam.
Menerusi status Facebook JB Traffic Report, "Salam min, tolong tular pemandu Audi biadab, nak tukar lorong tak bagi signal, lepas itu 'block' kereta isteri saya secara bahaya dan memaki serta menunjukkan isyarat lucah kepada isteri."
Status itu turut memberitahu, laporan polis sudah dilakukan dan suaminya juga meminta maaf kerana bahasa isterinya kurang sopan disebabkan trauma selain mengandung tujuh bulan.
Menerusi rakaman audio itu, wanita tersebut dipercayai berada di laluannya sebelum membelok susur kiri, namun seorang pemandu kereta mewah dikatakan mahu menghimpit masuk ke laluan tersebut.
Bagaimanapun, wanita itu tidak memberi laluan dan meneruskan perjalanan seperti biasa sebelum lelaki tersebut memecut laju di hadapan keretanya dan berhenti secara tiba-tiba.
Perbualan menerusi rakaman audio itu menjelaskan lelaki tersebut bersama anak dan isterinya manakala wanita itu sedang mengandung.
Lelaki itu memarahi mangsa kerana tidak memberi laluan kepadanya selain mendatangkan bahaya kepada dia dan ahli keluarganya, namun mangsa juga berkeras dengan mempersoalkan tindakan lelaki itu tidak memberi signal sebelum mahu membelok ke kiri jalan.
Kedengaran wanita tersebut sempat meminta maaf susulan kejadian itu, namun lelaki tersebut sekali lagi membuat onar dengan merakam gambar keretanya dan menunjukkan isyarat lucah sebagai tanda protes sebelum beredar.
Sementara itu, video itu tular di laman sosial hingga meraih lebih 236,000 tontonan, 3,100 perkongsian dan lebih 2,400 komen daripada netizen.
Netizen yang menonton rakaman itu menyifatkan lelaki terbabit sangat biadab kerana sengaja mahu menakutkan wanita yang memandu sendirian.
"Akak kat laluan yang betul, dia dari kanan nak masuk simpang tak reti nak beratur lepas tu kurang ajar tunjuk macam tu.
"Tak hormat orang perempuan, tak hormat orang mengandung. Tanya dia lesen terbang ke, harap polis ambil tindakan pada lelaki itu sebab kakak kita selalu kena macam tu," tulis Mmy Nurischaa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!