Samseng jalanan 'serang' wanita hamil ditahan
JOHOR BAHRU - Seorang lelaki ditahan polis dipercayai terlibat dalam kes buli jalan raya terhadap seorang pemandu wanita dalam kejadian yang berlaku di Jalan Johor Jaya, Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Ismail Dollah berkata, bertindak atas maklumat, 'pembuli' berumur 27 tahun itu berjaya ditahan kira-kira 12 tengah hari semalam di Permas Jaya untuk membantu siasatan.
"Satu laporan polis diterima IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Seri Alam Jumaat lalu oleh seorang perempuan berusia 26 tahun di Balai Polis Johor Jaya menyatakan kira-kira 8.30 pagi semasa mangsa memandu di Jalan Johor Jaya, keretanya telah dipotong oleh sebuah kereta lain dari sebelah kiri lalu berhenti di hadapan kereta mangsa.
"Seorang lelaki bertindak turun dari kereta dan datang ke arah mangsa lalu memarahi dan memaki mangsa selain mengambil gambar mangsa menggunakan telefon bimbitnya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Lelaki berkenaan kini ditahan mengikut Seksyen 506/509 Kanun keseksaan untuk membantu siasatan.
Terdahulu, tular di laman sosial Facebook sebuah video berdurasi 4 minit 28 saat memaparkan pemandu kereta mewah jenis Audi bertindak menghalang kereta seorang wanita di tengah jalan raya dan memarahi dan memaki wanita tersebut.
Turut kedengaran dalam video itu wanita berkenaan yang dipercayai sedang mengandung turut menangis kerana ketakutan.
Lelaki itu kemudiannya mengambil gambar mangsa sebelum menunjukkan isyarat lucah dan beredar. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN Wanita mengandung 'diserang' lelaki tunjuk isyarat lucah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!