KWSP simpanan terbaik masa hadapan
ALOR SETAR - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merupakan tabung terbaik untuk golongan yang bekerja sendiri untuk mula mencarum sekarang demi kehidupan yang lebih baik di masa hadapan.
Wakil KWSP yang ditemui di Seminar Celik Kewangan 2.0 berkata, kebanyakan golongan ini beranggapan simpanan peribadi mereka sudah mencukupi untuk menampung kehidupan hari tua mereka.
Bagaimanapun katanya, simpanan peribadi tidak dapat menjamin kewangan yang stabil pada masa hadapan apatah lagi jika individu berkenaan tidak berdisiplin dalam menabung.
“Disebabkan itu, kita galakkan mereka mencarum dengan KWSP di bawah skim i-Saraan kerana selain mempunyai simpanan pada hari tua, mereka juga akan menikmati pelbagai manfaat sama seperti ahli yang lain.
“Antaranya, mereka akan menerima bantuan kematian, pelepasan cukai dan dividen. Lebih menarik lagi, mereka juga berpeluang membuat pengeluaran akaun kedua untuk tujuan tertentu seperti bayar ansuran rumah, kesihatan dan pendidikan,” katanya ketika Seminar Celik Kewangan 2.0 di sini baru-baru ini.
Menurutnya, berdasarkan rekod di KWSP, trend orang yang bekerja sendiri dan mencarum semakin meningkat.
“Kesedaran sudah ada, cumanya disiplin untuk mencarum setiap bulan itu masih kurang. Ini akan menyebabkan mereka terlepas kebaikan jangka masa panjang dan hasil dividen juga menjadi rendah kerana simpanan yang rendah.
“Kita galakkan mereka mendaftar dan mencarum secara konsisten setiap bulan, tidak kisah walaupun bulan ini (mencarum) RM100, bulan depan RM200 asalkan mencarum setiap bulan,” katanya.
Menurutnya, KWSP juga menggalakkan ahli-ahlinya membuat pengeluaran secara bulanan selepas usia 55 tahun.“Jika diikutkan kita memberi pelbagai pilihan pengeluaran selepas persaraan tetapi pengeluaran secara bulanan ini memberi peluang kepada mereka untuk terus menikmati dividen,” katanya yang turut menjelaskan KWSP menawarkan pembayaran dividen sehingga usia 100 tahun.
Sementara itu, Datin Fouziah Gous berkata, sebagai seorang selebriti mereka kurang ditekankan mengenai kepentingan mencarum di KWSP.
“Rutin harian yang agak sibuk juga menyebabkan kami tidak meletakkan ia (caruman) sebagai suatu keutamaan, asalkan sudah ada insurans, sudah memadai.
“Lagipun kami tidak ada suatu badan yang mewajibkan mencarum. Semuanya di atas kesedaran diri sendiri, jika kita tidak mula, ia tidak akan berlaku,” katanya.
Fouziah yang juga pengasas FGWalet berkata, sejak mengusahakan perniagaan sendiri dan bergelar majikan, beliau mulai sedar tentang kepentingan KWSP.
“Saya bukan sahaja mencarum untuk pekerja-pekerja saya tetapi turut mendidik mereka bahawa KWSP ini penting untuk pastikan kehidupan hari tua lebih terjamin,” katanya ketika tampil dalam slot Sembang Santai Fouziah Gous Bersama KWSP dan MDEC di seminar berkenaan.
Slot dikendalikan oleh Issey Fazlisham itu disertai oleh Trainer E-Usahawan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Mohd Zulaimi Mohd Hassan.
Sementara itu, Setiausaha Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Wilayah Utara (Usahawati), Noor Azmira Abdullah, 43, berkata, beliau berasa bertuah kerana terpilih menyertai seminar berkenaan.
“Persatuan kami berasaskan perniagaan dan kebanyakan ahli kami tidak ada caruman tetap kerana merasakan ia bukanlah suatu keperluan.
“Tetapi selepas hadir ke seminar ini, kami lihat skim i-Saraan sangat sesuai untuk mencarum kerana ia memberi banyak manfaat yang sebelum ini kami tidak tahu.“Selepas ini saya akan menyampaikan maklumat yang saya dapat daripada seminar ini kepada semua ahli kami yang seramai lebih 500 orang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!