Sektor pertanian, perladangan mampu lonjak ekonomi negara

Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Klang, Muner Suandi (tiga dari kiri) menerima replika cek sumbangan wakalah zakat perniagaan Nafas bagi negeri Selangor daripada Anwar (tiga dari kanan) pada program Jalinan Mesra Peladang 2019 di Dataran Ilmu, Bandar Baru Selayang semalam.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Klang, Muner Suandi (tiga dari kiri) menerima replika cek sumbangan wakalah zakat perniagaan Nafas bagi negeri Selangor daripada Anwar (tiga dari kanan) pada program Jalinan Mesra Peladang 2019 di Dataran Ilmu, Bandar Baru Selayang semalam.
A
A
A

BATU CAVES - Kerajaan perlu memberikan tumpuan terhadap pembangunan sektor pertanian dan perladangan yang berpotensi melonjakkan ekonomi negara.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembangunan fizikal semata-mata tidak cukup untuk merealisasikan hasrat menjadikan Malaysia yang lebih seimbang.

Menurutnya, sokongan era digital dan teknologi terkini perlu dimanfaatkan supaya golongan nelayan, petani dan peladang lebih berdaya maju serta berkembang dengan lebih pesat.

“Untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara, kalau pembangunan sahaja rancak sekarang dengan mengetepikan golongan ini, ia tidak seimbang dan adil.

“Import bahan makanan dan ternakan sudah terlalu tinggi untuk negara. Dengan penduduk yang ada, kita sudah import RM52 bilion. Ikan segar, baja, sayur, itu terlalu tinggi,” katanya ketika berucap merasmikan Program Jalinan Mesra Peladang 2019 di Dataran Ilmu, Bandar Baru Selayang di sini semalam.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin; Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi serta Pengurus Besar Nafas, Ahmad Shaari.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, meskipun terdapat agensi yang membuat penyelidikan seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi), hasilnya tidak digunakan dengan sebaiknya untuk dikomersialkan.

“Kita ada penyelidikan yang Mardi buat tetapi tidak dapat diterjemahkan di peringkat komersial. Kita ada Jabatan Perikanan dan Jabatan Pertanian yang besar tetapi peranannya tidak diperluaskan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Pengunjung tidak melepaskan peluang membeli ayam yang dijual dengan harga RM6 seekor pada program Jalinan Mesra Peladang 2019 di Dataran Ilmu, Bandar Baru Selayang.
Pengunjung tidak melepaskan peluang membeli ayam yang dijual dengan harga RM6 seekor pada program Jalinan Mesra Peladang 2019 di Dataran Ilmu, Bandar Baru Selayang.

Beliau mengakui peruntukan untuk sektor pertanian belum mencukupi, justeru agihan kepada pihak yang lebih wajar perlu diutamakan.

“Dulu, lembaga padi diswastakan, saya kurang setuju tapi saya desak sebahagian saham diberi kepada Nafas.

“Penanam padi itu membabitkan ahli peladang. Nafas kalau diswastakan diambil pihak swasta, itu akan membabitkan dasar. Sebab itu, Bernas (Padiberas Nasional) setuju untuk mengembalikan sebahagian saham atau kepentingan kepada peladang dan mungkin Nafas.

“Saya setuju keuntungan dikembalikan kepada penternak dan penanam padi. Sebab itu peranan Nafas penting,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, kerajaan merancang mengubah polisi subsidi yang akan diberikan kepada golongan nelayan, penternak dan peladang iaitu daripada subsidi input kepada subsidi output.

Katanya, usaha itu bagi merancakkan lagi hasil pertanian dan mengurangkan isu harga makanan yang tinggi seterusnya mengurangkan kos import makanan.

“Kita dalam peringkat perancangan menggubal polisi untuk ubah subsidi input kepada subsidi output.

“Kita mahu beri subsidi terus kepada petani dan peladang supaya mereka boleh memilih untuk membeli barangan import seperti benih, racun, baja dan sebagainya,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!