Dua lelaki maut dalam kebakaran di Sibu

479468
479468
A
A
A

SIBU - Dua lelaki rentung dalam kebakaran sebuah rumah berkembar dua tingkat di Lorong 16, Taman Rejang, Persiaran Brooke, di sini awal hari ini.

Pemangku Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat orang awam terdapat mangsa terperangkap di dalam rumah tersebut sebaik sahaja tiba di lokasi.

Menurutnya, panggilan kebakaran itu diterima daripada orang awam kira-kira 2.10 pagi dan tiga jentera dengan kekuatan 22 anggota serta dua pegawai kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu Sentral serta Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Merah telah digerakkan ke lokasi.

“Setelah kebakaran terkawal, dua orang mangsa ditemukan di dalam tandas dan disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital yang berada di lokasi dan seterusnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Johnathan Ringgit berkata, kedua-dua mayat yang rentung itu dibawa ke Hospital Sibu untuk tindakan lanjut.

“Siasatan awal di tempat kejadian belum dapat mengenal pasti punca kebakaran dan sedang menunggu laporan forensik bomba. Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut,” katanya apabila dihubungi melalui aplikasi WhatsApp.

Setakat ini, belum ada maklumat berhubung identiti kedua-dua mangsa yang dipercayai bekerja sebagai mekanik kereta.

Rumah tersebut dijadikan bengkel membaiki kereta dan stor menyimpan alat ganti kenderaan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!