Pelajar tingkatan empat maut tercampak dalam sungai

Keadaan MPV yang remuk di hadapan selepas merempuh dua buah motosikal di lokasi kejadian. (Kanan: Mayat mangsa yang ditemui seorang pemancing lima jam selepas kejadian.) - Foto IPD Hulu Terengganu
Keadaan MPV yang remuk di hadapan selepas merempuh dua buah motosikal di lokasi kejadian. (Kanan: Mayat mangsa yang ditemui seorang pemancing lima jam selepas kejadian.) - Foto IPD Hulu Terengganu
A
A
A

HULU TERENGGANU - Seorang pelajar tingkatan empat maut selepas motosikal yang diboncengnya dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di atas Jambatan Kampung Kuala Ping di Kilometer 18, Jalan Gaung-Kuala Ping-Teris di sini semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 petang, mangsa, Muhammad Naqiuddin Badrul Hisham, 16, yang membonceng motosikal ditunggangi rakannya, 15, dipercayai tercampak ke dalam sungai sebelum mayatnya ditemui terapung oleh seorang pemancing pada jam 7.29 petang.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kejadian melibatkan tiga buah kenderaan iaitu sebuah MPV jenis Toyota Avanza dan dua buah motosikal iaitu jenis Yamaha Nouvo LC dan Honda Wave 110.

Katanya, siasatan awal mendapati MPV dipandu seorang lelaki berusia 58 tahun dari arah Kuala Berang menuju ke Kuala Ping tiba-tiba memasuki laluan bertentangan dan merempuh dua motosikal dari arah Kuala Ping ke Kuala Berang di sini.

"Akibat rempuhan kuat itu, kedua-dua motosikal berkenaan terpelanting yang mana penunggang dan pembonceng motosikal jenis Yamaha Nouvo LC, masing-masing berusia 27 dan 28 tahun serta rakan mangsa terjatuh di atas jalan raya di lorong sebelah kiri menghala ke Kuala Berang.

"Manakala mangsa dikatakan tercampak ke dalam sungai di bawah jambatan namun semasa kejadian, tiada saksi yang nampak insiden tersebut.

"Mayat mangsa ditemui lima jam kemudian oleh seorang pemancing," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Mohd Adli, mayat mangsa seterusnya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Hulu untuk bedah siasat.

Rakannya yang parah serta dua lagi mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Pemandu MPV dan seorang penumpangnya berusia 14 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu secara melulu dan membahayakan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!