PLUS jamin atasi kesulitan tambah nilai Touch 'n Go

Langkah menghentikan perkhidmatan tambah nilai di plaza tol kepada pengguna Touch ‘n Go adalah untuk mengurangkan kesesakan.
Langkah menghentikan perkhidmatan tambah nilai di plaza tol kepada pengguna Touch ‘n Go adalah untuk mengurangkan kesesakan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mengakui langkah PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menamatkan perkhidmatan tambah nilai di lorong keluar plaza tol berkuat kuasa 5 November lepas mengundang pelbagai reaksi, pelbagai usaha sedang diambil untuk mengatasi kesulitan dialami pengguna lebuh raya.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata PLUS akan meningkatkan kerjasama dengan penyedia perkhidmatan Touch ‘n Go untuk menyelesaikan kemusykilan yang timbul, namun perkara itu akan mengambil sedikit masa.

Ia termasuk penambahbaikan pengurusan berkaitan tambah nilai Touch ‘n Go bagi memudahkan pengguna melakukan transaksi tambah nilai kad pembayaran elektronik mereka.

Pengguna mempunyai pilihan melakukan tambah nilai sama ada melalui aplikasi dompet elektronik (e-wallet) atau pusat tambah nilai kad Touch ‘n Go di seluruh negara merangkumi mesin pengeluaran wang automatik (ATM), Hentian Rehat dan Rawat (R&R), stesen minyak, pasar raya, dan kiosk layan diri.

“Kita ada 11,000 pusat tambah nilai, 22 kaunter Touch ‘n Go Spot, 68 mesin tambah nilai, 27 Pusat Khidmat Pelanggan dan 65 lorong tambah nilai di lorong masuk plaza tol terpilih,” katanya ketika ditemui bual RTM1 untuk rancangan Selamat Pagi Malaysia hari ini.

Beliau mengingatkan pengguna lebuh raya agar tidak keluar dari kenderaan masing-masing sekiranya tidak dapat melepasi palang tol berikutan baki Touch ‘n Go tidak mencukupi atas faktor keselamatan.

“Kalau ada masalah, saya minta kerjasama agar jangan keluar dari kenderaan sebaliknya boleh tekan butang ‘interkom’. Pegawai khidmat pelanggan PLUS akan bantu anda,” katanya.

Sementara itu, Ketua Komunikasi Korporat, Perhubungan Komuniti dan Awam PLUS, Syed Mohammed Idid Syed Ahmad Idid berkata, pengguna lebuh raya PLUS perlu memahami bahawa langkah menghentikan perkhidmatan tambah nilai di plaza tol kepada pengguna Touch ‘n Go adalah untuk mengurangkan kesesakan.

Artikel Berkaitan:

"Kami mendapati bahawa lorong tambah nilai melambatkan lalu lintas di plaza tol kami. Oleh itu, kami meminta sokongan daripada semua pengguna jalan raya untuk tidak menggunakan kemudahan tambah nilai di laluan keluar plaza tol dan dengan berbuat demikian, semua pemandu akan menerima aliran trafik yang lancar di plaza tol.

"Laluan tambah nilai di lorong keluar plaza tol adalah untuk kemudahan pengguna Touch ‘n Go yang tiba-tiba mendapati baki tidak mencukupi dalam kad mereka tetapi sekarang ia telah dianggap sebagai kemudahan tambah nilai untuk semua," katanya.

Syed Mohammed Idid berkata, statistik pada bulan ini di wilayah Tengah menyaksikan kira-kira 98.7 peratus pemandu beralih kepada kaedah pembayaran tanpa tunai, manakala di wilayah Utara, 95 peratus dan wilayah Selatan 96 peratus.

"Seperti yang dapat anda lihat di plaza tol, kebanyakan lorong adalah lorong khusus untuk Smart Tag, RFID dan Touch ‘n Go. Hanya satu atau dua lorong keluar yang digunakan untuk kenderaan pelbagai kelas dan ini jelas menunjukkan bahawa majoriti masyarakat di negara ini sudah berurusan tanpa tunai," katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: 'Penutupan lorong tambah nilai susahkan rakyat'

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!