Leonardo DiCaprio beri keterangan kes 1MDB
WASHINGTON - Pelakon terkenal Hollywood, Leonardo DiCaprio tampil secara tertutup di hadapan hakim Washington DC untuk memberi keterangan dalam kes melibatkan 1MDB.
Washington Post yang memetik sumber mendedahkan, keterangan DiCaprio yang dibuat baru-baru ini dipercayai bagi membantu siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) berhubung skandal berbilion ringgit itu.
“Pihak pendakwaan menganggap pelakon Titanic itu sebagai saksi yang dapat memberikan pandangan berguna berkaitan pembiaya dari Malaysia yang didakwa menyeleweng dan menggubah berbilion ringgit daripada dana pelaburan itu,” memetik laporan itu.
Pembiaya dari Malaysia dikatakan terlibat dalam isu tersebut adalah Low Taek Jho atau Jho Low yang didakwa di Amerika Syarikat pada November lepas dengan pertuduhan menggubah wang dan mencuri.
Laporan tersebut turut menjelaskan bahawa pelakon tersebut merupakan saksi dan bukannya subjek penyiasatan.
Turut dinyatakan bahawa tidak jelas bagaimana pihak berkuasa membawa DiCaprio ke mahkamah tanpa disedari atau maklumat yang telah dimaklumkannya kepada hakim.
DiCaprio merupakan salah seorang selebriti yang secara tidak sengaja terlibat dalam skandal 1MDB melalui Jho Low.
DOJ mendakwa Jho Low membawa DiCaprio berjudi di Las Vegas dan membayar bilnya malah Jho Low juga dikatakan menghadiahkan pelakon itu beberapa lukisan dan mendapatkan dana untuk filem lakonannya, The Wolf of Wall Street.
Model terkenal, Miranda Kerr turut terheret dalam skandal itu selepas Jho Low menghadiahkan barang kemas bernilai jutaan dolar.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!