Bicara kes tak hormat lagu Negaraku 10-12 Februari

Rakaman tular menunjukkan sekumpulan individu tidak berdiri bagi menghormati lagu Negaraku dalam satu majlis September lalu.
Rakaman tular menunjukkan sekumpulan individu tidak berdiri bagi menghormati lagu Negaraku dalam satu majlis September lalu.
A
A
A

KUCHING - Mahkamah Majistret di sini, hari ini menetapkan 10 hingga 12 Februari tahun hadapan bagi perbicaraan kes membabitkan tujuh individu yang tidak menghormati lagu Negaraku.

Majistret Nuruhuda Mohd Yusuf menetapkan tarikh itu bagi perbicaraan kes tersebut ke atas Leong Shaow Tung, 43; Kon Tai Keong, 37; Bong Sak Sin, 44; Andrew Chong, 33; Phang Ngin Pen, 64; Tan Kok Chiang dan Kui Ping Ping masing-masing berusia 46 tahun.

Menurut kertas pertuduhan, kesemua mereka tidak berdiri sebagai tanda hormat ketika lagu Negaraku berkumandang dalam satu majlis makan malam di Hotel Telang Usan pada jam 7.15 malam 27 September lepas.

Tertuduh yang terdiri daripada seorang wanita dan enam lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 8(3) Akta Lagu Kebangsaan 1968, yang dibaca sekali mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100 atau penjara tidak melebihi sebulan, jika sabit kesalahan.

Kesemua tertuduh diwakili peguam, Arthur Lee dan Ian Lee Yi Eng manakala pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Raya, Nurfadzlin Hafiz Musa.

Pada 11 Oktober lepas, ketujuh-tujuh mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan terbabit. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Tidak hormat lagu Negaraku: Polis rakam keterangan lapan individu

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!