'Kita bukan ikan nak minum air putih 7 liter sehari'
SHAH ALAM - Perkongsian seorang pemuda yang berkongsi tip mengamalkan pengambilan air putih 7 liter sehari kononnya demi kesihatan diri menimbulkan keraguan dan pertikaian dalam kalangan doktor dan pakar perubatan.
Perkara tersebut dikongsi seorang pengguna Twitter yang turut mencatat jadual pengambilan air putih dalam tempoh sehari.
Terpanggil untuk memperbetulkan perkara tersebut, seorang doktor yang menggunakan akuan @paminordin berkongsi bahawa pengambilan air berlebihan akan membebankan buah pinggang
Menurutnya, perkara tersebut juga akan menyebabkan air kencing berubah menjadi putih dan jernih, selain menceritakan situasi seorang gadis terkena sawan gara-gara pengambilan 10 liter air sehari.
"Jangan lakukan ini semua kerana akan menjadi beban yang melampau pada buah pinggang kita dan akan menyebabkan elektrolit tidak seimbang di dalam badan kita. Macam mana nak tahu yang kita dah terhidrasi.
"Bila kencing kita bertukar menjadi sedikit kuning. Jika bertukar putih, bermakna kita dah terlebih minum. Kita bukan ikan," tulisnya membalas komen tersebut.
Dalam pada itu, tidak ketinggalan, Doktor Pakar Buah Pinggang, Dr Rafidah Abdullah yang amat popular turut menguatkan lagi fakta tersebut memberitahu pengambilan air secara berlebihan bukanlah langkah mengurangkan berat badan.
Sebaliknya beliau berkata, kaedah bersenam adalah lebih baik dan sempurna di samping menyarankan minum air hanya ketika berasa haus.
"Minum air terlampau banyak bukan penyebab kurus, ia mungkin menyebabkan sawan. Cara nak kurangkan berat badan adalah dengan bersenam dan mengurangkan pengambilan kalori. Jangan sebarkan info mengarut," katanya.
Dalam pada itu, perkongsian oleh @AzharAndiTahir di Twitternya kini meraih 1,200 perkongsian,1,800 tanda suka dan rata-rata netizen menyokong kenyataan dikongsi doktor dan pakar perubatan.
Ada antara netizen juga berkongsi pengalaman terkena sawan sehingga perlu menerima rawatan di hospital disebabkan pengambilan air putih melampau.
"Saya pernah masuk hospital disebabkan saya pengsan beberapa kali (walaupun ketika saya di hospital) dan ini terjadi sebab saya minum air terlalu banyak (4 liter hingga 5 liter). Garam dan elektrolit dalam badan saya terlalu cair. Masa itu saya memang aktif dan hanya mengambil air putih sahaja," luah @aisyaj di Twitter.
@Rahimdin pula menulis, "Bahaya bila kau mengambil air putih berlebihan sebab aku pun ada pengalaman masuk hospital sebab ini ketika diet dulu. Itu semua mitos bang, akhirnya aku ubah untuk kurangkan ambil air putih dan aku berjaya kurus juga."
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!