UMNO tak jarakkan diri dengan Najib
KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan parti tidak akan sama sekali menjarakkan diri dengan sesiapa sahaja yang ingin membantu UMNO berkempen di mana-mana Pilihan Raya Kecil (PRK) walaupun mereka terlibat dengan kes mahkamah.
Jelas beliau, kes mahkamah adalah isu peribadi dan ia tidak ada kena-mengena dengan parti.
“Tidak sedikitpun perasaan itu (menjarakkan diri dari Najib), bila seseorang itu sama ada disiasat atau dibicara atau diminta membela diri, pendirian UMNO dan BN tetap sama,” katanya yang juga Pengerusi BN di lobi Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya media adakah UMNO akan menjarakkan diri daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berikutan keputusan mahkamah hari ini memerintahkan beliau membela diri.
Bekas Perdana Menteri itu hari ini diperintah membela diri selepas pihak pendakwa raya berjaya membuktikan wujudkan kes prima facie bagi kesemua tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Keputusan tersebut diumumkan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali kira-kira jam 11.30 pagi.
Ditanya sama ada keputusan mahkamah itu akan menjejaskan sokongan rakyat kepada BN dalam PRK Tanjung Piai pada 16 November ini Zahid berkata, rakyat bijak membuat keputusan.
Menurutnya kes seseorang itu tidak ada kena-mengena dalam mana-mana PRK.
"Kami cukup rasional bahawa semangat dan tahap sokongan pengundi-pengundi tidak terpengaruh dengan isu-isu di mahkamah kerana mereka rata-rata mengetahui perbicaraan itu dibuat mengikut proses undang-undang.
“Dia (Najib) telah datang (kempen) yang terakhir semalam dan sambutan kepada dia masih tetap luar biasa.
“Sesiapa sahaja ingin membantu (calon BN), kita akan bagi ruangan yang secukupnya, bukan hanya memperjelaskan isu-isu yang ada tetapi untuk melihat sokongan harus diberikan kepada mana-mana calon BN,” katanya.
Pendirian yang sama turut disuarakan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan memaklumkan isu membabitkan Najib tidak akan memberi kesan kepada kemenangan BN di Tanjung Piai.
“Sebab kes (SRC) itu berbeza dengan isu yang berlaku di Tanjung Piai, seperti kita tahu banyak isu melibatkan isu rakyat dan Tanjung Piai ini terlibat dengan perikanan dan pekebun kecil. Jadi isu mereka yang melibatkan sara hidup,” katanya.
Beliau berkata, isu SRC hanya membabitkan peribadi Najib dan bukannya parti.
“Najib pernah kata tidak akan melibatkan UMNO dalam kes dia. Dia akan teruskan dengan kes di mahkamah, malah pemimpin lain pun terlibat dengan kes di mahkamah. Itu adalah isu yang melibatkan diri mereka sendiri bukan melibatkan parti dan sebagainya.
“Tetapi sebagai bekas presiden parti, kita akan terus beri sokongan moral kepada Najib untuk menghadapi kes ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!