Program Sinergi Sosial pastikan penyampaian bantuan keselamatan sosial

Wan Azizah (tiga dari kiri) ketika gimik pelancaran sistem MySynergy di MECC hari ini. - FOTO SINAR HARIAN /ASRIL ASWANDI SHUKOR
Wan Azizah (tiga dari kiri) ketika gimik pelancaran sistem MySynergy di MECC hari ini. - FOTO SINAR HARIAN /ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Program Sinergi Sosial bakal mewujudkan horizon baharu dalam kualiti sistem penyampaian perkhidmatan ditawarkan agensi yang menyediakan manfaat keselamatan sosial di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, program anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) itu adalah formula terbaik bagi mengatasi permasalahan ekonomi yang melanda rakyat Malaysia khususnya golongan B40.

“Antara objektif utama program ini adalah untuk meningkatkan pendapatan sara hidup dan mengurangkan kadar kemiskinan dalam negara.

“Melalui sistem jaringan keselamatan sosial yang disediakan oleh pelbagai kementerian dan agensi dalam negara, kerajaan akan memastikan tiada rakyat khasnya daripada kumpulan B40 yang benar-benar memerlukan pertolongan tercicir daripada senarai bantuan,” katanya hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berucap pada Majlis Perasmian Program Sinergi Sosial dan Pelancaran Sistem MySynergy di Pusat Pameran dan Konvensyen Matrade (MECC) di sini.

Hadir sama, Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran dan Timbalannya, Datuk Mahfuz Omar; Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Amir Omar serta Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Program Sinergi Sosial merupakan inisiatif bagi mewujudkan ekosistem keselamatan sosial dalam negara dengan penglibatan 17 rakan strategik terdiri daripada agensi kerajaan dan bukan kerajaan.

Kesemua agensi itu akan bergabung di bawah satu platform yang membentuk satu jaringan keselamatan sosial holistik dan penyelesaian menyeluruh bagi rakyat Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Ia juga bertujuan meningkatkan pendapatan dan mengurangkan kadar kemiskinan rakyat serta menjadikan mereka berpengetahuan dalam pengurusan kewangan sistematik.

Antara agensi terlibat adalah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Majlis Agama Islam Negeri Melaka dan Skuad Pengurusan Jenazah Malaysia.

Mengulas lanjut, Wan Azizah berkata, Sistem MySynergy yang diguna pakai pula mengadaptasi penggunaan teknologi lejar digital terbuka atau blockchain dan sistem itu dibina, ditadbir, diselia, diurus dan diselenggara sepenuhnya oleh Perkeso.

Beliau berkata, akses juga telah diberi kepada semua agensi terlibat secara percuma dan sistem itu berkeupayaan menjana dan menyimpan sebuah data keselamatan sosial terbesar di Malaysia.

Katanya, ia bersesuaian dengan Rancangan Malaysia Ke-11, pemfokusan terhadap kesejahteraan rakyat adalah menjadi elemen yang diutamakan oleh kerajaan.

"Saya percaya komitmen semua pihak yang terlibat menjadi kunci kepada kejayaan Program Sinergi Sosial dengan sasaran untuk mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan tahap ekonomi individu dan keluarga.

"Justeru, saya menggesa agar lebih banyak agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan untuk turut serta menjayakan Program Sinergi Sosial ini," katanya.

Terdahulu, Kula Segaran dalam ucapannya berkata, program itu telah bermula pada 7 Ogos 2018 dan sehingga Oktober 2019, sejumlah 1,167 orang daripada pelbagai latar belakang telah didaftarkan menerusi program itu.

“Dengan terlaksananya program usaha sama ini, secara tidak langsung ia bakal melahirkan pekerja berkebolehan sebagai pengamal keselamatan sosial dengan memiliki kemahiran bukan sahaja dalam aspek perlindungan pekerjaan malah meliputi bidang kewangan, perniagaan dan sebagainya,” katanya.

Ketika ditemui pemberita, Kula Segaran berkata, beliau akan menyarankan agar semua kementerian turut serta dalam Program Sinergi Sosial agar semua lapisan masyarakat dapat menerima manfaatnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!