Penduduk tak suka keluar malam punca ceramah hambar

Suasana dan poster parti bertanding yang menghiasi Perkampungan Nelayan Air Masin, Kukup menjelang PRK Tanjung Piai, 16 November ini.
Suasana dan poster parti bertanding yang menghiasi Perkampungan Nelayan Air Masin, Kukup menjelang PRK Tanjung Piai, 16 November ini.
A
A
A

PONTIAN - Kecenderungan penduduk tempatan yang lebih gemar berada di rumah pada waktu malam merupakan antara punca ceramah parti-parti politik untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai kelihatan agak hambar.

Calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini berkata, sebagai anak tempatan, beliau memahami situasi tersebut dan tidak bimbang mengenainya kerana mempunyai pendekatan untuk menemui pengundi.

“Orang di sini (Tanjung Piai) memang begini. Mereka tak nak keluar. Lepas Isyak, mereka lebih suka duduk di rumah.

“Bukan disebabkan mereka ada kekangan, cuma mereka tidak berasa selesa (keluar malam) sebab itulah kita pergi rumah ke rumah untuk memastikan mesej sampai kepada pengundi,” katanya ketika ditemui luar pekarangan Sekolah Kebangsaan Batu 24 Pekan Nanas di sini hari ini.

Beliau sebelum itu menghadiri Majlis Pecah Tanah Dewan sekolah itu yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai itu berkata, kehadiran yang hambar mungkin juga disebabkan masyarakat sudah mula berasa bosan dengan politik negara yang berterusan.

“Politik kita ini berterusan. Selepas pilihan raya umum pun, kita masih politik lagi. Mungkin inilah mesej sebenarnya bahawa mereka (penduduk) yang tidak mahu huru-hara,” katanya yang turut tidak menolak kemungkinan bahawa sikap sebegini akan menjejaskan peratusan keluar mengundi pada Sabtu ini.

“Kemungkinan ada (peratusan keluar mengundi kurang) tapi kita minta mereka keluarlah mengundi kerana PRK ini tak kurang pentingnya macam pilihan raya umum untuk memastikan pembangunan negara berjalan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

PRK Tanjung Piai pada Sabtu ini diadakan susulan kematian wakil rakyatnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada PH di Hospital Pontian pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung.

Pada pilihan raya itu, PH berdepan saingan calon Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng, calon Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Wendy Subramaniam dan Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!