Diperintah bela diri bukan bermakna Najib bersalah, kata Khairy

Khairy ketika ditemui wartawan di lobi Parlimen hari ini.
Khairy ketika ditemui wartawan di lobi Parlimen hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Meskipun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diperintahkan untuk membela diri namun itu bukan bermakna beliau bersalah, kata Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin.

Menurutnya, prinsip tersebut akan terus terpakai sehinggalah kes perbicaraan selesai sepenuhnya dan hukuman dijatuhkan.

“Walaupun Najib diperintahkan untuk membela diri namun ia tidak bermakna beliau didapati bersalah, jadi prinsip itu akan terus terpakai sehingga kes ini selesai,” katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu hari ini diperintah membela diri selepas pihak pendakwa raya berjaya membuktikan wujudkan kes prima facie bagi ke semua tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Sementara itu berhubung satu lagi keputusan mahkamah yang menolak usul daripada seorang peguam untuk mencabar keabsahan sekolah vernakular sebagai tidak berparlimen jelas Khairy, semua pihak harus menerima kerana tafsiran Perlembagaan hanya boleh dibuat di mahkamah.

“Saya belum baca tetapi saya merasakan mahkamah adalah tempat terbaik untuk putuskan dan sekiranya mahkamah sudah buat keputusan bahawa kewujudan sekolah-sekolah jenis kebangsaan tidak melanggar undang-undang maka kita kena terima sebab tafsiran Perlembagaan hanya boleh dibuat di mahkamah,” tegasnya.

Mahkamah Persekutuan di Putrajaya hari ini menafikan kebenaran kepada peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz untuk mencabar kewujudan sekolah-sekolah vernakular yang menurutnya bertentangan dengan perlembagaan persekutuan.

Keputusan itu dibuat Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed.

Artikel Berkaitan:

Pada 23 Oktober lalu Khairul Azam memfailkan satu usul di bawah Perkara 4 (3) Perlembagaan Persekutuan memohon perisytiharan terhadap pindaan Akta Pendidikan 1996 untuk membenarkan sekolah vernakular terus wujud sebagai tidak berperlembagaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!