Lokman Adam tidak hormati mahkamah: Saiful Ambar

Saiful Ambar Abdullah Ambar
Saiful Ambar Abdullah Ambar
A
A
A

SHAH ALAM – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam didakwa tidak menghormati undang-undang dan menghina mahkamah apabila mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas pertuduhan SRC International Sdn Bhd dan memerintahkannya untuk membela diri.

Ahli Biro Perundangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Saiful Ambar Abdullah Ambar dalam satu kenyataan berkata, tidak wujud sebarang campur tangan politik dalam urusan pertuduhan dan keputusan terhadap Najib.

“Meskipun pada pandangan Lokman bahawa tiga saksi penting tidak dipanggil itu ‘dilihat’ semacam cacatnya kes pendakwaan tapi saya percaya peguam Najib lebih arif dalam hal ini dan biarlah orang yang ‘ahli’ saja mengendalikan hal ini.

“Beliau tidak perlu untuk menjadi ‘peguam tidak bertauliah’ kepada Najib. Bahkan, perbicaraan masih belum selesai dan Najib masih lagi mempunyai ruang semasa peringkat pembelaan nanti,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Lokman yang mempertikaikan perjalanan kes SRC International Sdn Bhd yang disifatkannya mencurigakan apabila tiga saksi penting tidak dipanggil memberi keterangan.

Lokman turut mendakwa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad campur tangan dalam pertuduhan yang dihadapi Najib.

Saiful Ambar yang juga seorang peguam berkata, tuduhan pemimpin UMNO terbabit hanyalah mencari alasan dalam keadaan penafian.

“Tuduhan biadab Lokman terhadap Dr Mahathir hanyalah menggambarkan betapa dangkalnya pemikiran dan menunjukkan wujudnya ketakutan melampau terhadap hukuman yang kemungkinan besar boleh dikenakan atas salah laku, rasuah dan penyelewengan oleh bekas-bekas pimpinan negara, bekas anggota kabinet bahkan mereka yang bersubahat dalam penyelewengan tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Malaysia Baru pasca rejim Barisan Nasional (BN) oleh Kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pimpinan Mahathir dengan jelas menjunjung tinggi kebebasan institusi kehakiman dan komited untuk memastikan segalanya berjalan mengikut ‘rule of law’,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!