'Saya bukan broker'

Khalid pada sidang media mengenai cadangan pembangunan Kampung Baru di Putrajaya di sini hari ini. - Foto Bernama
Khalid pada sidang media mengenai cadangan pembangunan Kampung Baru di Putrajaya di sini hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad kesal dengan sikap pihak yang melabelkan beliau sebagai broker dalam isu pembelian tanah di Kampung Baru.

Menurutnya, tuduhan itu sama sekali tidak benar, sebaliknya apa yang beliau cuba lakukan adalah untuk memberikan kehidupan lebih selesa kepada penduduk di kawasan berkenaan.

"Mereka gelarkan saya broker. Broker ini orang yang beli tanah dan hendak jual balik untuk dapatkan keuntungan.

"Tapi apa yang kerajaan lakukan adalah cara yang betul, kita hendak hapuskan kemungkinan wujudnya broker sebab itu kita buat secara terbuka.

"Kita umumkan harga secara terbuka, kita buat secara telus dan akhirnya keuntungan dapat dinikmati pemilik tanah," katanya pada pada sidang media mengenai cadangan pembangunan Kampung Baru di Menara Seri Wilayah, di sini hari ini.

Khalid berkata, selain untuk melihat pembangunan di Kampung Baru yang lebih tersusun, projek itu juga dilaksanakan bagi memberi lebih jaminan orang Melayu terus wujud di Kuala Lumpur.

"Apabila kampung itu dibangunkan, orang-orang Kampung Baru dapat membeli rumah dan tinggal di situ.

"Matlamat kita adalah untuk memastikan orang Melayu dapat tinggal di Kuala Lumpur kerana dengan adanya pembangunan semula mereka dapat membeli kediaman yang akan dibina nanti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu kerajaan mengumumkan harga tawaran baharu pembelian tanah Kampung Baru bernilai RM1,000 bagi setiap satu kaki persegi berbanding RM850 sebelum ini.

Harga RM150 setiap kaki persegi itu akan diperoleh dalam bentuk pegangan saham dalam Syarikat Tujuan Khas (SPV) yang akan ditubuhkan kelak.

Setakat hari ini, seramai 1,716 daripada 5,359 pemilik di Kampung Baru telah memberikan maklum balas berhubung projek itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tanah Kampung Baru: Kerajaan tawar RM1,000 sekaki persegi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!