Wanita Jepun dilarang berkaca mata ke tempat kerja
TOKYO - Ramai wanita di Jepun mempertahankan hak mereka selepas dilarang memakai cermin mata ke tempat kerja selepas Nippon TV menyiarkan cerita tentang syarikat yang memerlukan pekerja wanita memakai kanta sentuh daripada cermin mata.
Ekoran itu, rasa tidak puas hati disuarakan menerusi platform Twitter sehingga menjadi topik yang trending dengan #glassesareforbidden.
Seorang pengguna di Twitter berkata, larangan itu sudah ketinggalan zaman selain ada yang menggelarkan majikan mereka sebagai dungu.
Seorang pekerja di restoran memberitahu, majikannya sudah berulang kali melarangnya mengenakan cermin mata atas alasan ia kelihatan tidak sopan selain tidak sesuai digayakan dengan kimono.
“Jika larangan itu dikenakan ke atas wanita sahaja, ini ternyata satu diskriminasi terhadap wanita,” kata Kanae Doi, seorang pengarah di Human Rights Watch.
Dalam pada itu ada yang menyatakan mereka tidak selesa mengenakan kanta lekap dan ia mengakibatkan jangkitan teruk.
“Jika memakai cermin mata menjadi masalah kepada wanita, seharusnya larangan turut dikenakan kepada kaum lelaki juga, barulah adil,” kata mereka. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!