Saya tak akan makan kari lagi!
![Tania Baxter memuntahkan hidangan kari sayurannya selepas mendapati terdapat daging ayam.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2019/11/11/524482.jpg)
NORFOLK - Seorang aktivis hak asasi haiwan menangis selepas termakan hidangan kari yang mengandungi kepingan ayam.
Tania Baxter, 45, dari Melton Constable, Norfolk di England mengalami trauma selepas memesan kari sayur, bagaimanapun menyedari hidangan itu mengandungi ayam.
Wanita itu dilaporkan tidak memakan ayam sejak 10 tahun lalu dan tidak dapat melupakan kejadian itu.
Tania membuat pesanan kepada keluarganya di sebuah restoran pada Jumaat lalu.
Walaupun diberitahu hidangan itu sayuran, Tania memuntahkan kembali selepas menyedari terdapat daging dalam mulutnya.
"Saya tahu tekstur dalam mulut saya adalah daging, jadi saya muntahkannya semula.
"Saya kemudian memeriksa kari tersebut dan mendapati ia mengandungi beberapa kepingan ayam," katanya.
Walaupun telah membuat aduan berkenaan perkara itu, Tania kecewa kerana tiada permohonan maaf membuatkannya menangis sepanjang malam.
Anak perempuan sulungnya pergi ke restoran untuk meminta penjelasan, tetapi respons yang diterimanya masih belum mencukupi.
"Bagaimana jika seseorang mempunyai alahan yang serius dan mereka diberi hidangan yang salah? Seseorang boleh mati kerana ini," katanya.
"Saya jamin tidak akan makan kari lagi," katanya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!