Ribut siklon ragut 12 nyawa di Bengal Barat dan Odisha, India
NEW DELHI - Sekurang-kurangnya 12 maut akibat ribut siklon yang melanda negeri Bengal Barat dan Odisha di timur India, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan pegawai pada Isnin.
Seramai 10 terbunuh akibat Siklon Bulbul di Bengal Barat manakala dua kematian dilaporkan berlaku di Odisha.
Ribut siklon telah membadai Odisha dan Bengal Barat pada Ahad menyebabkan kemusnahan di daerah-daerah pesisir sebelum bergerak ke arah negara jiran Bangladesh.
Ribut itu menyebabkan angin kencang dan hujan lebat.
Menteri tempatan yang bertanggungjawab bagi pengurusan bencana Javed Khan berkata, lebih 465,000 orang terjejas manakala 60,000 rumah musnah akibat badaian ribut siklon yang teruk di sembilan daerah di Bengal Barat.
Ribut siklon telah menyebabkan tanaman musnah di daerah-daerah yang terjejas.
Kerajaan India berkata ia memantau situasi itu dan akan menghulurkan bantuan sedaya mungkin kepada negeri yang terjejas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!