NGO tak patut kritik kerajaan
A
A
A
Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, sebaliknya kerajaan negeri bersikap terbuka untuk menerima pandangan daripada badan itu sekiranya ia merupakan kritikan membina demi kesejahteraan rakyat.
Menurutnya, sebagai kerajaan yang baru berusia 6 bulan 28 hari, banyak perlu dipelajari dan ketika memperkenalkan satu dasar atau perkara baharu, pastinya akan terdapat pelbagai tohmahan dan kritikan.
"Jangan seperti segelintir NGO yang sentiasa mengkritik Kerajaan Harapan tanpa sebarang usul periksa, kadang-kadang tampak seperti sengaja untuk memburuk-burukan kerajaan tetapi dalam kerajaan masa sama, kita bersedia menerima kritikan sekiranya ia kritikan membina dalam usaha membangunkan Kedah bersama Kerajaan Harapan.
"Di sini pentingnya peranan NGO untuk memantau dan menegur secara berhemah sebarang kepincangan yang berlaku di kerajaan negeri.
"Kita terima kritikan asalkan membina, bukan untuk peribadi dan kepentingan lain," tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Makan Malam Jalinan Mesra NGO-NGO Kedah Bersama kerajaan negeri yang dihadiri lebih 100 NGO seluruh negeri Kedah.
Hadir sama, Exco Badan Bukan Kerajaan, Firdaus Ahmad.
Beliau dalam masa sama mengakui NGO berperanan membantu kerajaan dalam menarik minat dan kepercayaan golongan pelapis untuk terus memberi sokongan dan mandat kepada kerajaan.
"Saya juga difahamkan antara punca kekangan utama dalam pergerakan NGO ini adalah kekurangan dana dan sokongan tertentu yang diperlukan.
"Di sini saya melihat, pertemuan ini adalah satu permulaan yang amat baik dalam mencari kesepakatan NGO dan kerajaan negeri, bawah YB Firdaus selaku Pengerusi Jawatankuasa NGO," katanya.
Menurutnya, kerjasama tersebut pastinya akan memberi kebaikan untuk kedua-dua pihak di mana banyak peranan dan tenaga NGO yang boleh digemblengkan bersama, baik dari segi kebajikan, bantuan bencana, pemantauan, sukan, khidmat sosial, penjagaan, pencegahan, keagamaan dan pembinaan sahsiah.
"Saya menaruh harapan yang tinggi kepada kejayaan usaha ini kerana saya yakin ianya akan mampu menangani pelbagai masalah yang berlaku secara lebih efisien dan berhemah dengan kepelbagaian bidang dan kepakaran dari setiap NGO akan memudahkan dalam menangani setiap permasalahan.
"Besarlah hasrat saya agar NGO dapat menyuarakan apa-apa sahaja pandangan dan idea untuk memastikan ia menjadi satu pelan yang bersifat inklusif, komprehensif dan efektif demi kebaikan semua," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!