Propaganda dan periuk nasi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

HAMKA menulis sebuah artikel berjudul Teknik Propaganda dalam bukunya Hak Asasi Manusia dalam Islam dan Deklarasi PBB. Menurut beliau, alasan utama propaganda adalah demi menjaga periuk nasi.

Walaupun sang propagandis tahu bahawa apa yang dia lakukan itu tidak benar, namun dia tak mahu berhenti daripada kerja propaganda kerana di situlah letak sumber periuk nasinya.

Propaganda adalah cubaan sistematik untuk mempengaruhi persepsi dengan manipulasi demi matlamat tertentu sang propagandis.

Pelaku sendiri mungkin tak begitu menjadi masalah kerana dia seperti iblis yang tahu kebenaran tetapi tidak mahu mengimani kebenaran itu demi sebuah ego kesombongan peribadi.

Yang menjadi masalah besar adalah mangsa propaganda yang akan selalu berkembang dari mulut ke mulut.

Kata orang, kalau berkirim duit akan berkurang, namun berkirim pesan akan bertambah dari sejengkal ke sesiku, sehasta, sedepa dan seterusnya.

Begitulah alur perjalanan propaganda berkembang dan akan selalu berkembang sehingga tak terkendali dan boleh menghancurkan sebuah negara.

Kebenaran (baca: pembohongan) propaganda itu mengalahkan kuasa negara bahkan raja-raja. Ia berada di atas kuasa mahkamah legislatif, eksekutif judicative.

Artikel Berkaitan:

Mengalahkan kebenaran berita media perdana.

Ada kalanya ia mengalahkan dalil al-Quran sunah dan pendapat para ulama. Tiada data selain propaganda yang diubahsuai seolah-olah ia data dan fakta.

Saya mengamati dengan mendalam jenis propaganda itu di Indonesia dan Malaysia.

Saya juga mengikuti propaganda itu di banyak negara Islam seperti Pakistan, Turki, Mesir, Syiria dan sebagainya.

Intinya propaganda dilakukan oleh mereka yang menggunakan akal cerdas mereka ke arah kejahatan.

Untuk itu jugalah saya berjuang di media sosial dan sebagainya demi mengimbangi propaganda semampu saya.

Itu kerana perjuangan dan dakwah atas nama kebenaran tidak mengenal sempadan.

Data dan kuasa

Saya sering meneliti data daripada mereka yang menyebarkan propaganda, namun mereka tidak punya data melainkan auta.

Memang tidak ada pemerintahan yang sempurna. Namun peralihan kuasa daripada rejim lama tanpa pertumpahan darah dan perjuangan mereka ke arah menerapkan tadbir urus baik apa kurang hebatnya.

Apa yang pasti mana-mana kerajaan reformasi adalah lebih baik daripada kerajaan sebelumnya.

Mereka tiada pilihan selain melakukan yang lebih baik atau menjadi pembangkang.

Kalau mereka selalu diasak dengan propaganda, ia akan membuat mereka terganggu daripada membuat kerja.

Ingatlah bahawa hancur dan lemahnya kerajaan Islam disebabkan oleh propaganda.

Propaganda itu jika tidak dilawan dengan data dan kuasa akan membahayakan.

Apalagi di negara ketiga di mana kita suka menerima propaganda tanpa usul periksa. Jangan percaya berita yang didengar, percayalah sedikit setelah melihat dan baru diberi kepercayaan.

Rasanya sebagai umat Islam cukuplah al-Quran surah al-Hujuraat maksud ayat di bawah ini menjadi pengajaran dan pedoman buat kita bersama:

“Hai orang yang beriman, jika datang kepada mu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan mu itu.

“Orang beriman itu Sesungguhnya bersaudara sebab itu perbaikilah hubungan antara kedua saudara mu itu dan takutlah terhadap ALLAH supaya kamu mendapat rahmat.

“Hai orang yang beriman, janganlah sekumpulan lelaki merendahkan kumpulan yang lain, boleh jadi yang ditertawakan itu lebih baik dari mereka. Dan jangan pula sekumpulan perempuan merendahkan kumpulan lainnya, boleh jadi yang direndahkan itu lebih baik. Dan janganlah suka mencela dirimu sendiri dan jangan memanggil dengan gelaran yang mengandung ejekan. Seburuk-buruk panggilan adalah (panggilan) yang buruk sesudah iman dan barang siapa yang tidak bertaubat maka mereka itulah orang-orang yang zalim.

“Hai orang yang beriman, jauhilah kebanyakan prasangka (kecurigaan) kerana sebahagian daripada prasangka itu dosa. Dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah memfitnah satu sama lain. Adakah seorang di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada ALLAH. Sesungguhnya ALLAH Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.

* Dr Afriadi Sanusi ialah Setiausaha Antarabangsa Majlis Dakwah Negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!