Sumber minyak baharu di Iran
TEHERAN - Menteri Minyak Iran hari ini memperbetulkan maklumat tentang penemuan sumber minyak yang besar diumumkan Presiden Hassan Rouhani beberapa hari selepas Teheran meningkatkan projek pengayaan uranium sebagai langkah mengurangkan komitmen terhadap perjanjian nuklear 2015.
Bijan Namdar Zanganeh berkata, dianggarkan hanya 22.2 bilion tong boleh ditambah dalam rizab minyak mentah di Teheran.
Semalam, Rouhani memaklumkan loji minyak di wilayah Khuzestan terbabit dapat menghasilkan 53 bilion tong dan beliau turut menyifatkan ia sebagai ‘pemberian yang kecil daripada kerajaan untuk rakyat’.
“Kekangan teknologi dan keadaan kawasan padat dengan batu juga menyebabkan hanya 2.2 bilion tong dapat diekstrak,” ujarnya.
Peta yang ditunjukkan Zanganeh kepada petugas media menunjukkan penemuan berharga itu meliputi kawasan seluas 2,400 kilometer persegi merentasi sehingga ke sempadan Iraq manakala lapisan minyak adalah sedalam kira-kira 3.1 kilometer dengan purata tebal 80 meter.
Menurutnya, ia berpotensi berkembang ke arah barat daya dan timur menerusi penerokaan lebih lanjut.
Difahamkan, penemuan rizab baharu itu jika disahkan akan meletakkan Iran di tangga ketiga di belakang Arab Saudi.
Rouhani yang membuat pengumuman itu ketika perhimpunan di bandar Yazd menegaskan penemuan itu dibuat walaupun mereka berdepan tekanan akibat tindakan permusuhan dilancarkan Amerika Syarikat (AS) yang menyasarkan sektor minyak negara tersebut.
Hubungan antara Teheran dan Washington semakin tegang sejak AS menarik diri daripada Perjanjian Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) pada 2018. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!