Berkerusi roda tak halang pesara polis mengundi awal
PONTIAN - Berkerusi roda tidak menghalang pesara polis, Sarjan Mejar Norsiah Abu Bakar, 62, hadir mengundi di pusat pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, di sini pagi ini.
Merupakan anak jati Permas, di sini, Norsiah yang berkhidmat lebih 40 tahun teruja untuk hadir mengundi awal bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih.
"Ini merupakan kali pertama saya mengundi dalam keadaan berkerusi roda.
"Sejak kehilangan kaki akibat penyakit kencing manis baru-baru ini, saya masih bersemangat untuk hadir mengundi dan menganggap ini peluang bertemu bekas rakan-rakan sekerja yang turut mengundi," katanya kepada media sewaktu ditemui pada hari pengundian awal Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai di IPD Pontian pagi ini.
Seorang lagi anggota polis, Koperal Mohd Ridzwan Sujak, 33, yang turut hadir mengundi awal teruja kerana IPD Pontian menjadi tuan rumah kepada pusat pengundian awal sempena PRK.
Mohd Ridzwan melahirkan rasa gembira kerana berpeluang mengundi awal di tempat sendiri memandangkan kebiasaannya dia terpaksa bertugas membantu polis pada PRK kawasan lain.
Bagi seorang lagi anggota polis, Koperal Basten Ambun Philip, 31, yang bertugas di Balai Polis Pontian berkata, dia berasa seronok dapat mengundi di tempat orang.
Menurutnya, dia tiada masalah mengundi di Parlimen Tanjung Piai, meskipun berasal dari Kuching, Sarawak.
"Saya menganggap mengundi satu tanggungjawab walaupun bukan orang sini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!