Denda hingga RM1,200 jika pasport hilang, rosak
SHAH ALAM - Denda di antara RM300 hingga RM1,200 bakal menanti orang ramai yang didapati cuai sehingga menyebabkan pasport mereka mengalami kerosakan atau kehilangan berkuat kuasa 2 Januari lalu.
Berdasarkan laman sesawang rasmi e-Warta Persekutuan, Jabatan Peguam Negara, individu yang mahu menggantikan pasport akibat hilang atau rosak bagi kali pertama dikenakan denda RM400, kecuali kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.
Jelas pewartaan itu, pelajar yang berusia di bawah 21 tahun dan sedang belajar di luar negara dikenakan denda sebanyak RM300.
"Bagi penggantian pasport kali kedua pula, denda sebanyak RM700 akan dikenakan manakala sebanyak RM600 dikenakan bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan pelajar berusia 21 tahun ke bawah yang belajar di luar negara.
"Untuk penggantian pasport buat kali ketiga dan seterusnya, setiap individu itu akan dikenakan denda sebanyak RM1,200 manakala denda RM1,100 kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan pelajar berusia 21 tahun dan ke bawah yang belajar di luar negara," katanya.
Perkara tersebut terkandung di bawah Perintah Fi (Pasport dan Visa) (Pindaan) 2019 - Akta Fi 1951 yang dikeluarkan oleh Ketua Setiausaha Negara merangkap Setiausaha Jemaah Menteri, Datuk Seri Dr Ismail bakar.
Bagaimanapun, sumber daripada Jabatan Imigresen menjelaskan, pewartaan tersebut masih belum boleh dilaksanakan sepenuhnya sehingga Ketua Pengarah Imigresen yang baharu iaitu Datuk Jamil Rakon menandatangani dokumen tersebut.
"Buat masa ini masih belum digazetkan sepenuhnya tunggu sehingga Ketua Pengarah Imigresen tandatangan terlebih dahulu maka barulah denda ini akan dikuatkuasakan sepenuhnya kerana ia adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!