'Keluarga' lipas ditemui dalam telinga pemuda
BEIJING - Menggelikan! begitulah perasaan sesuai bagi menggambarkan situasi apabila satu 'keluarga' lipas ditemui dalam telinga seorang pemuda dari China.
Laporan New York Post menyebut, pemuda dikenali sebagai Lv itu mengadu sakit di telinga sebelah kanan dan hasil pemeriksaan oleh ahli keluarganya mendapati seekor serangga seakan lipas dalam telinganya.
Susulan itu, Lv, 24, mendapatkan pemeriksaan lanjut di hospital dan pakar mengesahkan terdapat seekor lipas besar dan lebih 10 ekor anak lipas 'menetap' dalam telinga mangsa.
"Anak-anak lipas tersebut merayap-rayap dalam telinganya," kata Zhong Yijin, pakar ENT Hospital Sanhe, di Huiyang.
Kesemua lipas daripada spesies blattella germanica itu berjaya dikeluarkan dan Lv dibenarkan pulang pada hari sama.
Sementara itu, sumber yang merawat pesakit memberitahu media tempatan, telinga mangsa dimasuki lipas berikutan tabiatnya yang sering meninggalkan sisa makanan di sisi katil. - Agensi