[VIDEO] Ibu tunggal menangis kegembiraan

Maznah bersama anaknya, Nor Syazliana yang menerima bantuan peralatan sekolah hari ini.
Maznah bersama anaknya, Nor Syazliana yang menerima bantuan peralatan sekolah hari ini.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Hanya air mata yang dapat menggambarkan kesyukuran dua daripada 800 penerima sumbangan kelengkapan sekolah di bawah program Back To School 2019 (BTS 2019) oleh Yayasan Petronas.

Suri rumah yang juga ibu tunggal Maznah Omar, 46, berkata, anaknya, Nor Syazliana Mohd Sidi, 10, tidak pernah menerima apa-apa sumbangan daripada pihak luar selain dari Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah sebelum ini.

Namun tahun ini nama anaknya tersenarai dan beliau amat bersyukur serta berterima kasih atas pemilihan itu kerana ia dapat mengurangkan kos perbelanjaan persekolahan anaknya bagi sesi tahun depan.

"Alhamdulillah saya berterima kasih. (Bantuan ni) besar maknanya... sebab saya orang susahkan. Anak saya (penerima) bongsu daripada tiga beradik. Dia anak yatim. Masih sekolah dan saya tak kerja," katanya menahan sebak.

Petugas Rela, Mariyam Harun, 46, juga melahirkan rasa gembira kerana anaknya Nur Alis Azman, 10, turut tersenarai sebagai penerima tahun ini.

Mariyam bersama anaknya, Nur Alis yang terpilih menerima bantuan peralatan sekolah yang disalurkan oleh Yayasan Petronas.
Mariyam bersama anaknya, Nur Alis yang terpilih menerima bantuan peralatan sekolah yang disalurkan oleh Yayasan Petronas.

"Syukur dan lega. Anak saya tiga orang, dua masih sekolah dan saya cuma bergantung pada elaun rela serta pencen Perkeso arwah suami.

"Pendapatan tidak tetap lebih kurang RM1400 ke RM1500 sebulan. Saya masih kena bayar rumah sebanyak RM350. Sumbangan barangan (sekolah) ni melegakan saya dan anak," katanya ketika ditemui media.

Artikel Berkaitan:

Nor Syazliana dan Nor Alis merupakan antara penerima sumbangan peralatan berjumlah RM240 seorang berupa barangan seperti beg galas, botol minuman, baju hujan, alat tulis dan dua pasang seragam sekolah termasuk kasut dan stoking.

Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Datuk Wan Mohd Hasnan Abdullah berkata, program BTS 2019 merupakan yang terbesar sejak 17 tahun lalu membabitkan 21,000 murid di 14 negeri dan Wilayah Persekutuan tahun ini.

"Sumbangan ini merupakan usaha berterusan syarikat yang bertujuan meringankan bebanan golongan B40 sekali gus membantu mengatasi kadar keciciran pelajar seluruh negara.

"Yayasan Petronas ialah cabang tanggungjawab Sosial Korporat Petronas yang mempunyai misi untuk menyumbang kesejahteraan rakyat; berteraskan tiga aspek utama; pendidikan, kesejahteraan komuniti dan alam sekitar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program BTS yayasan tersebut di Dewan Orang Ramai Kampung Balok Baru di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu dan wakil Pengarah Pendidikan Pahang, Hamdan Mohd Zin.

Andansura berkata, DUN Beserah mempunyai 18 kampung dengan 12 sekolah rendah dan lima sekolah menengah.

"Setiap tahun DUN Beserah memberikan bantuan persekolahan kepada 500 murid dan kehadiran Petronas pada tahun ini telah membantu sebahagian penerima DUN kali ini. Terima kasih Petronas kerana memilih DUN Beserah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!