Kes MyKad palsu: 1,047 individu didakwa
KUALA LUMPUR - Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merekodkan sebanyak 1,047 tangkapan melibatkan orang awam dibuat dan didakwa di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, tangkapan itu hasil daripada 2,100 operasi penguatkuasaan yang dijalankan terhadap sindiket penipuan dan pemilikan dokumen pengenalan diri palsu atau milik orang lain dari tahun 2013 hingga 30 September 2019.
Menurutnya, perbuatan penjualan atau pengeluaran dokumen pengenalan diri palsu itu dilakukan atas kapasiti individu berkenaan untuk mengaut keuntungan mudah melalui cara yang salah.
"Justeru kuasa penuh diberikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat dan mendakwa pihak yang didapati bersalah," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan lisan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (Pas-Tumpat) mengenai statistik penipuan sindiket MyKad sejak 2013.
Pada sesi soal jawab itu Mohd Azis turut menjawab secara lisan soalan lain yang dikemukakan Dr Azman Ismail (PKR-Kuala Kedah) dan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PKR-Kapar) sebelum ini yang turut membincangkan isu sama iaitu berkenaan dengan sindiket penipuan dokumen pengenalan diri.
Mohd Azis berkata, bagi kes menggunakan kad pengenalan milik orang lain atau memiliki kad pengenalan palsu, JPN menangkap seramai 470 individu bagi tempoh tahun 2017 sehingga 30 September 2019.
Beliau berkata, kesemua individu kes-kes berkenaan sudah dituduh di bawah Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.
"Bagi tempoh yang sama, perincian individu yang ditangkap mengikut pecahan lima negara asal tertinggi adalah seramai 323 warga Filipina, 106 (Indonesia),15 (Malaysia), sembilan (China) dan lima (Thailand).
"Kita di Kementerian Dalam Negeri (KDN) menasihatkan mana-mana individu atau institusi yang meragui ketulenan dokumen pengenalan diri untuk merujuk terus kepada KDN atau JPN bagi tujuan semakan data dan pemeriksaan fizikal dokumen," katanya.
Dalam pada itu, menjawab mengenai penambahbaikan JPN, Mohd Azis memberitahu, satu Mesyuarat Jawatankuasa Penambahbaikan Sistem Penyampaian Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha KDN dijalankan pada 18 September lalu.
Menurutnya, mesyuarat itu memutuskan beberapa langkah penambahbaikan serta-merta termasuk strategi memperkemas sistem penyampaian JPN termasuk memperketatkan prosedur pengendalian standard (SOP) sedia ada.
Beliau berkata, kelulusan permohonan pendaftaran lewat kelahiran hanya dibuat di Ibu Pejabat JPN Putrajaya bagi permohonan di bawah Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299), manakala bagi permohonan di bawah Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1951 (Sarawak Cap. 10) dan Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (Sabah Cap. 123), kelulusan permohonan masing-masing dibuat di Ibu Pejabat JPN Negeri dengan kehadiran wakil daripada Ibu Pejabat JPN Putrajaya sebagai Ahli Panel.
Katanya, langkah penambahbaikan lain antaranya seperti meningkatkan kekerapan proses naziran secara mengejut di semua bahagian di JPN termasuk terhadap vendor yang terlibat bagi memastikan pematuhan semua tatacara yang ditetapkan.
Selain itu, menambah baik aras keselamatan berperingkat agar tidak lagi boleh diakses dengan mudah oleh semua pegawai, sebaliknya perlu melalui verifikasi daripada pegawai atasan serta menukar penempatan pegawai JPN secara pusingan bagi mengelakkan satu-satu pegawai berada di posisi sama lebih daripada dua tahun untuk meminimumkan salah guna kuasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!