Keluarga kakitangan UPSB terharu terima sumbangan
SHAH ALAM – “Syukur saya ucapkan kerana pemberian ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban kami sekeluarga,” anak sulung kepada Zaidi Saad, 50, kakitangan Ultimate Print Sdn Bhd (UPSB) yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung, 26 Ogos lalu.
Mohd Zahim Muhaimin, 22, berkata, dia terharu kerana majikan Allahyarham sangat prihatin dengan nasib mereka sekeluarga selepas kehilangan tempat bergantung.
“Ribuan terima kasih tidak terhingga kepada Kumpulan Media Karangkraf kerana sudi membantu menghulurkan sumbangan dan keprihatinan yang diberikan kepada kami sekeluarga sejak arwah ayah dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) hingga hujung nyawa arwah.
“Jasa dan budi baik syarikat ini tidak dapat kami balas,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Saguhati Allahyarham Zaidi Saad di Dewan Karangkraf, pagi tadi.
Hadir sama, Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub; Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GCEO) Kumpulan Media Karangkraf, Mohamed Izam Mohamed Yusof.
Penuntut tahun akhir di Universiti Malaya itu memberitahu, tanggungjawab sebagai ketua keluarga kini dipikul ibunya yang bekerja sebagai pemandu van sekolah.
“Paling terkesan adik bongsu sebab dia paling rapat dengan ayah, Bagi menghilangkan rinduya, kami sering menemaninya menziarahi kubur arwah,” katanya sebak.
Sementara itu, isteri Allahyarham, Noorliza Bakiri, 48, berkata, sumbangan bernilai RM89,000 itu akan digunakan sebaik mungkin terutama dalam pendidikan dua lagi anaknya, Mohd Zahim Muzamil, 18, dan Mohd Zahim Muazim, 10.
“Saya bersyukur kerana arwah mempunyai majikan yang sangat mengambil berat terhadap kami sekeluarga. Semoga Allah sahaja dapat membalas budi baik mereka,” katanya melalui video yang ditayangkan ketika majlis berkenaan.
Noorliza tidak dapat hadir ke majlis berkenaan kerana masih dalam tempoh iddah.
Sementara itu, Hussamuddin dalam ucapannya berkata, pihak syarikat sentiasa menghargai bekas kakitangan yang meninggal dunia dengan menyalurkan sumbangan khas kepada keluarga terbabit.
“Walaupun sumbangan ini tidak seberapa tetapi saya berharap ia dapat membantu meringankan beban yang ditanggung keluarga arwah.
“Gunakan wang ini dengan sebaik mungkin khasnya untuk tujuan pendidikan,” katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!