Semua calon perlu patuhi syarat berkempen: SPR
PONTIAN – Semua calon yang bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai perlu mematuhi syarat ditetapkan sepanjang tempoh berkempen.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun berkata, ia telah diputuskan hasil perbincangan dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Pada 11 September 2019 lalu satu perjumpaan antara pegawai-pegawai SPR (STEC) bersama dengan Ketua Polis Daerah Pontian serta pegawainya bertujuan untuk menyelaraskan dan memperjelaskan isu-isu berkaitan dengan permit dan peraturan berkempen.
Menurutnya, hasil perbincangan tersebut, PDRM meminta calon dan parti terlibat mematuhi beberapa syarat yang ditetapkan bagi semua program bagi tujuan berkempen.
“Bagi program walkabout, kesemua parti atau calon terlibat diingatkan untuk mematuhi syarat permit ditetapkan kerana sebagai kempen bergerak ia perlu mempunyai tempoh masa dan lokasi yang jelas bagi tujuan pemantauan.
“Bagi kempen yang dibuat dari rumah ke rumah, ia juga perlu mendapat permit dari PDRM kerana ia juga satu bentuk berkempen.
“Bagi bahan berkempen yang berunsurkan hasutan dan provokasi akan diturunkan serta merta termasuk bahan kempen yang tidak memaparkan nama dan alamat penerbit dan pencetak juga akan diturunkan termasuk mana-mana bendera yang dikibar atau digantung di tepi jalan yang boleh mengganggu penglihatan dan berbahaya pada orang ramai.
“Begitu juga dengan kenderaan yang digunakan bagi tujuan berkempen iaitu mana-mana bendera yang dikibar atau digantung pada kenderaan berkempen yang berbahaya kepada orang ramai juga akan diambil tindakan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah Azhar, kenderaan yang digunakan untuk tujuan berkempen serta dipasang dengan bendera dan alat pembesar suara dan bergerak dari satu lokasi ke satu lokasi hendaklah memohon permit berkempen daripada pihak PDRM.
Katanya, kenderaan bergerak yang digunakan untuk berkempen hendaklah menutup suara dan sebarang rakaman kempen semasa bergerak dan hanya membukanya apabila kenderaan berhenti di lokasi berkempen bersesuaian dan tidak menghalang lalu lintas.
Menurut Azhar, SPR akan melaporkan maklumat berkaitan statistik kesalahan serta statistik bilangan laporan polis dan laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dibuat sepanjang tempoh berkempen.
Katanya, segala maklumat berkenaan boleh diperoleh menerusi laman sesawang SPR, Facebook dan Twitter SPR setiap hari sepanjang tempoh PRK.
“SPR berharap semua calon dan parti akan berkempen dengan lebih matang sepanjang tempoh berkempen yang berbaki lima hari lagi dengan mematuhi segala peraturan berkempen agar PRK Tanjung Piai berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!