JPJ kaji SOP khas tangani trend basikal lajak

shaharudin
shaharudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang menyiapkan Standard Operation Prosedur (SOP) khusus bagi mengekang trend basikal lajak di negara ini.

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid berkata, JPJ sedang mengkaji langkah itu dan secara dasarnya sudah mempunyai peruntukan Kaedah-Kaedah Lalulintas 1959 yang memberikan kuasa kepadanya untuk menilai isu itu sebelum sebarang tindakan diambil.

"Tindakan penguatkuasaan boleh dikenakan terhadap mana-mana orang yang menunggang basikal secara melulu dan membahayakan di atas jalan selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 42 APJ1987," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Menurutnya, seksyen ini juga akan dibacakan sekali di bawah Seksyen 54(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 yang turut terpakai kepada individu yang menunggang basikal, basikal elektrik dan trisikal yang bukannya kenderaan motor.

Menurut Shaharudin, penalti maksimum yang boleh dikenakan adalah seperti di bawah subseksyen 54(2) APJ 1987 iaitu denda sebanyak RM300 atau jika sabitan itu disabitkan kali kedua atau kemudiannya, boleh didenda sebanyak RM1,000 atau penjara bagi tempoh tiga bulan.

Selain itu katanya, bagi menyekat kesalahan tersebut terus dilakukan, penunggang basikal berkenaan juga boleh ditahan di bawah Seksyen 112 APJ 1987 yang memberi kuasa kepada pegawai JPJ, polis dan warden lalu lintas untuk membuat penangkapan, pemberhentian dan penahanan terhadap mana-mana individu yang telah melakukan atau disyaki telah melakukan suatu kesalahan terhadap seksyen 42 ini.

Beliau berkata, JPJ turut komited untuk meningkatkan inisiatif pendidikan dan pencegahan melalui usaha advokasi di sekolah-sekolah.

"Penubuhan kadet JPJ di sekolah misalnya merupakan salah satu strategi JPJ untuk memastikan pelajar tidak terlibat dengan gejala yang tidak sihat dan ia berupaya menjadi ejen perubahan.

Artikel Berkaitan:

"Paling penting ibu bapa dan anggota masyarakat juga hendaklah memainkan peranan yang penting dan perkara ini hendaklah dipandang serius kerana ianya memberi impak yang besar terhadap keselamatan di jalan raya," katanya.

INFO

Merujuk di bawah Kaedah 42, Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959, terdapat peruntukan berkaitan dengan basikal. Berdasarkan kaedah ini sesebuah basikal itu adalah seperti berikut:

- Telah dilengkapi dengan brek yang efektif yang boleh beroperasi secara berasingan pada sekurang-kurangnya dua tayar

-Mempunyai loceng

-Bercelapak di atas pelana (duduk di atas tempat duduk)

-Sekurang-kurangnya sentiasa memegang dengan satu tangan akan handel untuk memusing atau mengawal kenderaan

-Tidak boleh membawa mana-mana penumpang lain kecuali basikalnya dibuat khusus bagi membawa lebih daripada seorang penumpang.

-Penunggang basikal hendaklah mengayuh dalam satu deretan

-Tidak boleh memakai pakaian atau perhiasan kepala yang menghalang penglihatan, kurang kawalan atau, yang boleh menyebabkan bahaya kepada penunggang basikal itu atau pengguna jalan raya yang lain

-Oleh yang demikian jika sesebuah kenderaan itu mempunyai sifat fizikal seperti basikal tetapi tidak memenuhi sepenuhnya syarat mengikut kaedah tersebut, maka ianya dikira melanggari peruntukan yang telah ditetapkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!