Dakwaan dibiayai Amanah: Berjasa buat laporan polis
PONTIAN - Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) Johor membuat laporan polis hari ini terhadap pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan fitnah terhadap parti itu melalui laman sosial sejak beberapa hari lalu.
Ketua Perhubungan Berjasa Johor, Mohd 'Izzul Hafizuddin Mohd Solehuddin berkata, laporan polis dibuat susulan satu sebaran fitnah terhadap parti itu melalui satu hantaran Facebook mendakwa Berjasa dibiayai Parti Amanah Negara (Amanah).
"Berjasa menegaskan sekali lagi, bahawa parti itu tidak mempunyai hubung kait dengan Amanah apatah lagi menerima dana dari parti tersebut.
"Berjasa amat kesal dengan politik keji yang dimainkan oleh pihak tertentu dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai dan ingin menggesa agar semua pihak dapat bertanding secara sihat dengan menolak politik fitnah, " katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau sekali lagi menafikan parti itu dibiayai Pakatan Harapan (PH) bagi memecahkan undi masyarakat Cina.
Menurutnya, dakwaan parti tertentu menjangkakan parti itu akan bergabung dengan PH sekiranya memenangi PRK Parlimen Tanjung Piai turut disangkal.
"Ingin saya tegaskan bahawa Gerakan tidak bergabung dengan PH meskipun parti itu menang di Parlimen Tanjung Piai, " katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!