Melawan rasis cauvinis
BENAR setiap perkara sentiasa mempunyai hikmahnya. Tidak dijangka bahawa Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai kali ini membuka lembaran baharu dalam menterjemahkan makna sebenar hidup secara berbilang kaum dan bangsa di tanah tercinta bumi Malaysia ini.
Sesungguhnya takdir Ilahi penuh dengan rahsianya. Bayangkan, kerjasama UMNO/Pas di bawah Perpaduan Ummah yang telah dilancarkan pada 14 September 2019 yang turut disaksikan dan disokong oleh rakan-rakan Barisan Nasional (BN) telah melangkah lebih laju di mana ia disahut pula dengan Muafakat Nasional.
Sungguhpun gagasan Muafakat Nasional belum lagi mencapai kematangan sebenar namun komitmen Pas, UMNO, MIC dan rakan-rakan lain dalam membantu MCA untuk memenangi PRU itu adalah amat mengagumkan.
Kita sebenarnya telah mencapai kemakmuran dan kemanisan untuk hidup secara bersama dengan pelbagai latar belakang kaum dan bangsa sejak negara ini ditubuhkan lagi. Kita telah mencapai kesefahaman yang sama dengan saling menghormati segala perbezaan serta fokus pada kesamaan.
Kita meraikan perbezaan dan pada masa sama kita secara berganding bahu memantapkan perhubungan serta usaha demi menjaga keamanan dan kemakmuran. Ini telah terbukti berdasarkan pencapaian keamanan, kemakmuran dan kemajuan negara selama lebih 60 tahun.
Keeratan gabungan kali ini menjadi bertambah kuat dengan adanya Pas serta rakan-rakannya dalam meraikan keunikan dan realiti sebenar negara ini. Ia juga adalah simbolik besar kepada rakan-rakan MCA, MIC dan lain-lain bahawa dominasi Islam dan Melayu adalah tidak sesekali mengetepikan golongan lain.
Tohmahan
Tunjang Islam Melayu dalam negara ini merupakan pemangkin besar ke arah keamanan, kedamaian dan kesejahteraan. Majoriti rakyat negara ini amat bergembira dengan suasana yang rukun damai antara pelbagai kaum. Mereka sebenarnya tidak inginkan perpecahan.
Dakyah dan tohmahan tidak berasas oleh golongan rasis cauvinis adalah punca sebenar kepada terhakisnya trust dan kepercayaan antara bangsa dan agama.
Mereka menggunakan pelbagai kaedah untuk membangkitkan kebencian antara kaum. Api-api kebencian dimarakkan, parut-parut lama ditoreh kembali, persepsi dan sangka buruk dibina dengan segala tanggapan negatif.
Golongan itu sedaya upaya cuba membina tanggapan bahawa golongan Melayu Islam negara ini adalah regresif, mementingkan diri sendiri, suka disembah dan diangkat sebagai ‘tuan’.
Namun hakikatnya, golongan Melayu Islam amat bertoleransi, berperanan sebagai pemudah cara dan pemangkin kepada keamanan.
Penterjemahan perpaduan bangsa dan kaum ini menjadi lebih mantap dan terserlah terutama ketika musim kempen PRK Tanjung Piai ini. Ia seolah-olah menafikan secara total segala tuduhan dan sangkaan jahat yang dibina oleh golongan rasis cauvinis ini.
Golongan itu adalah minoriti namun kesan dan dakyahnya amat berbisa. Perancangannya begitu teratur sehingga menjadikan ia seolah-olah benar bagai dituduh.
Namun PRK Tanjung Piai telah menafikannya. Sungguhpun pilihan raya belum lagi berlangsung namun hakikatnya kemenangan telah berpihak kepada mereka yang betul-betul ingin mengembalikan negara ini kepada masyarakat majmuk yang hidup saling bersatu padu.
Oleh yang demikian percayalah niat dan hasrat yang baik, digerakkan dengan tindakan yang baik dan ikhlas, hasilnya sedikit sebanyak akan menjadi baik. Maka kempen PRK Parlimen Tanjung Piai inilah niat BN untuk menonjolkan intipati hubungan antara kaum dengan acuan asal yang harmoni lagi mesra sudah pasti akan dirasai oleh para pengundi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!