Mana satu pilihan pengundi?
GENDANG Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai sudah dipalu dan kini kelihatan semua sosok ahli politik yang sedang berkuasa atau yang kalah sedang berkampung di sana.
Siapa yang bakal menang terus menjadi perbualan dalam kalangan rakyat. Yang jelasnya, siapa pun yang akan menang ia tidak akan mengubah kerajaan.
Tatkala ramai penganalisis politik mungkin sedang bercakap ramalan masing-masing, saya rasa ada baiknya minggu ini saya menulis psikologi memilih sahaja. Saya bukan penganalisis politik dan tidak begitu memahami politik yang serba mungkin ini.
Ahli psikologi biasanya cenderung untuk percaya bahawa terdapat sekurang-kurangnya dua langkah apabila manusia membuat pilihan iaitu menyingkir dan memilih.
Bayangkan, sebelum membeli kereta, kita sudah dihadapkan dengan ratusan jenis kereta dalam pasaran. Pada peringkat ini, ia sangat mudah, kita hanya perlu menyingkirkan kereta yang di luar kemampuan kita. Kemudiannya kita akan mula menyingkirkan pula jenama kereta tertentu yang tak termasuk dalam kesukaan kita. Tetapi, masalah mula timbul apabila hanya ada beberapa kereta tertinggal dalam senarai yang mampu kita beli dan kita pula menyukainya. Langkah kedua itulah menjadikan kita biasanya berfikir agak panjang.
Dikatakan bahawa ada beberapa faktor yang menjadikan manusia berfikir agak panjang. Pertamanya ialah perkiraan risiko yang mungkin bakal terjadi.
Jika sekalipun diberitahu bahawa dengan memilih sesuatu itu akan membolehkan kita mendapat keuntungan tertentu, tetapi biasanya manusia cenderung mengira kemungkinan kerugian yang bakal berlaku.
Jika sekalipun diberitahu bahawa wakil rakyat yang dipilih tadi bakal membawa perubahan besar ke kampung kita, tetapi manusia seolah-olah lebih berfikir perkara buruk apa yang mungkin dilakukannya.
Keduanya, orang cenderung untuk melihat apa kesan segera dan bukannya apakah pembangunan atau peluang kerja beberapa tahun kemudiannya. Dalam istilah psikologinya, ia dikenali sebagai temporal discounting.
Sebab itulah, sekalipun sekarang kerajaan Pakatan Harapan banyak meminta rakyat bersabar dengan beberapa kekangan ekonomi yang ada, tetapi secara umumnya orang awam tidak berfikir seperti itu.
Semua kita mahu melihat apa yang dilakukan esok. Ini kerana apa yang berlaku dalam jangka panjang adalah hal yang belum pasti. Ia boleh jadi ada, boleh jadi juga tiada. Tetapi, apa yang berlaku esok atau dalam tempoh terdekat ini adalah sesuatu yang mudah dibuktikan.
Ketiganya, ialah certainty effect atau dalam bahasa yang mudah, hal yang pasti akan berlaku dan bukan sekadar kemungkinan sahaja. Apabila memilih menantu, kita mahu melihat berapa gajinya sekarang atau adakah dia ada pekerjaan yang baik. Kita tidak pernah bertanya dalam tempoh 10 tahun lagi gajinya akan jadi berapa, atau ada kemungkinankah dia akan menjadi pegawai negeri yang dihormati. Kita mahu melihat hal yang pasti dan bukan cerita-cerita kosong sahaja.
Jadi, berbalik kepada PRK Tanjung Piai, sekurang-kurangnya kita sudah boleh mengagak bahawa daripada enam calon yang memasuki gelanggang, beberapa orang yang kita jangkakan sudah terkeluar lebih awal.
Ini bukanlah bermakna kita menafikan peluang mereka, tetapi realitinya begitulah kita semua menyaring apa sahaja yang ada di depan mata kita. Ada kemungkinannya hanya ada dua atau tiga calon yang bakal tertinggal dalam perkiraan kita tadi. Daripada beberapa orang yang tertinggal ini siapa pula yang bakal dipilih oleh pengundi di Tanjung Piai?
Sudah tentulah mereka yang paling kurang memberikan risiko. Mereka yang mungkin ada rekod buruk tertentu atau ada banyak cerita kontroversi di belakangnya, mungkin bakal tersingkir.
Keduanya, apa yang mampu diberikan sekiranya calon itu menang dalam masa beberapa bulan ini dan paling baik apa yang bakal diberikan sebaik sahaja menang pilihan raya. Ingat, manusia tak suka menunggu.
Ketiganya, apa yang pasti akan berlaku. Semua janji-janji bersifat ramalan dan andaian tidak disukai pengundi. Kita semua sedang hidup di dunia yang nyata dan kita juga mahu melihat hal yang nyata.
Jika melihat kepada semua prinsip itu, tentulah kelihatannya sangat mudah untuk menang pilihan raya. Siapa yang berkuasa dan siapa yang mampu memberikan apa yang dijanjikannya, sudah tentu akan menang pilihan raya.
Bagaimanapun, prinsip psikologi itu hanya betul dalam keadaan yang normal. Ketika musim pilihan raya, dengan pelbagai kempen dan provokasi, manusia adakalanya menjadi tidak begitu waras.
Apabila pelbagai perasaan menguasai diri daripada suka sehinggalah dendam kesumat, daripada asalnya tiada apa-apa rasa tiba-tiba bertukar dengan riuh perkauman berjela-jela, maka manusia akan memilih dengan selera emosinya pula.
Jadi siapa yang menang? Pemenang sebenar sangat sukar ditentukan. Tapi dalam apa bentuk pilihan raya sekalipun, rakyat biasanya menjadi pihak yang kalah.
* Prof Madya Dr Mohd Awang Idris ialah pakar psikologi pekerjaan dari Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!