Treler hilang kawalan punca nahas lapan kenderaan

Anggota bomba menggunakan pemotong hidraulik bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam nahas berkenaan malam tadi.
Anggota bomba menggunakan pemotong hidraulik bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam nahas berkenaan malam tadi.
A
A
A

TAPAH - [DIKEMASKINI] Treler muatan kertas dipercayai hilang kawalan menjadi punca kemalangan yang mengorbankan seorang wanita dan seorang kanak-kanak lelaki dalam nahas lapan kenderaan di KM 317.2 Lebuhraya Utara- Selatan arah selatan di sini malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.50 malam itu, kemalangan tersebut membabitkan empat lori, Perodua Axia dan Myvi, pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero serta Honda Accord.

Ketua Polis Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, mangsa yang maut adalah penumpang Perodua Myvi, Salwati Yaakob, 28, dan penumpang Mitsubishi Pajero, Beh Xiu Zhung yang berusia lima tahun.

“Siasatan mendapati kemalangan itu dipercayai berlaku apabila treler muatan kertas berkenaan didapati gagal mengawal kenderaannya lalu melanggar belakang Perodua Axia yang dinaiki dua lelaki sebelum melanggar bahagian kiri Honda Accord.

“Treler tersebut turut bergesel dengan treler muatan gula sebelum melanggar Mitsubishi Pajero yang dinaiki empat sekeluarga. Impak kuat dari pelanggaran itu menyebabkan Pajero tersebut tersepit antara treler berkenaan dan sebuah lori kurier menyebabkan kanak-kanak berusia lima tahun maut,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua maut, 12 selamat nahas lapan kenderaan

Menurutnya, hentaman kuat tersebut menyebabkan lori kurier tersebut bergerak lalu melanggar belakang Perodua Myvi yang dinaiki sepasang suami isteri dan rakan mereka.

“Wanita yang maut itu merupakan isteri kepada pemandu Perodua Myvi berkenaan. Mayat kedua-dua mangsa maut telah dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat.

Artikel Berkaitan:

“Mangsa terselamat sembilan lelaki termasuk seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun dan dua wanita. Kesemua mangsa berusia tujuh hingga 59 tahun itu dibawa mendapatkan rawatan di hospital sama,” katanya.

Wan Azharuddin berkata, pemandu treler berusia 52 tahun itu telah ditahan untuk siasatan lanjut.

“Pemandu berkenaan ditahan untuk menjalani ujian air kencing dan sampel darah diambil untuk dihantar ke Jabatan Kimia.

“Kenderaan terlibat dibawa ke IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Tapah untuk dihantar ke Puspakom Gopeng dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!